SHAH ALAM - Seorang wanita berkongsi detik hampir menjadi mangsa sindiket penipuan menggunakan taktik penghantaran bungkusan secara tunai semasa serahan (COD) selepas menerima notifikasi penghantaran bagi parcel yang tidak pernah ditempah.
Individu yang hanya mahu dikenali sebagai Yana, 35, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3 hingga 4 petang pada Khamis lalu.
Menurutnya, ketika kejadian dia berada di tempat kerja sebelum dihubungi seorang penghantar kurier yang memaklumkan terdapat bungkusan COD bernilai RM55 untuk dihantar ke rumahnya.
Katanya kepada Sinar Harian, dia berasa curiga kerana tidak pernah membuat pembelian menggunakan kaedah COD memandangkan tiada sesiapa berada di rumah pada waktu siang.
"Saya memang terkejut sebab tak pernah beli barang secara COD, saya terus beritahu penghantar saya tak ada buat sebarang tempahan.
"Penghantar itu kemudian memaklumkan bungkusan berkenaan sangat ringan, hanya seberat 0.01 kilogram dan mengesyaki ia mungkin hanya mengandungi kain, dia juga menasihatkan saya supaya menolak parcel itu jika tidak pasti," katanya.
Menurut Yana, dia mengambil keputusan menolak penghantaran tersebut sebelum menerima satu lagi mesej pada keesokan harinya yang memaklumkan bungkusan itu mengandungi sehelai baju-T.
"Saya rasa memang tinggal sedikit lagi nak jadi mangsa, tak logik baju-T beratnya hanya 0.01 kilogram tetapi perlu bayar RM55.
"Lebih merisaukan, saya tak tahu bagaimana mereka boleh memperoleh nama penuh, nombor telefon dan alamat rumah saya," katanya.
Beliau percaya sindiket berkenaan menggunakan taktik menghantar parcel yang kelihatan tidak mencurigakan bagi mengelirukan mangsa sehingga menyangka mereka terlupa pernah membuat tempahan.
Sehubungan itu, Yana menasihatkan orang ramai supaya tidak terus membuat bayaran bagi mana-mana penghantaran COD yang tidak dikenali, sebaliknya menyemak terlebih dahulu dengan syarikat kurier atau menolak bungkusan berkenaan jika tidak pernah membuat pesanan.
"Saya kongsi pengalaman ini supaya orang lain lebih berhati-hati, scammer sekarang semakin licik dan jangan sesekali bayar jika kita sendiri tidak pasti pernah membuat tempahan," katanya.