KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (PEYATIM) menyarankan kerajaan dan semua pihak berkepentingan mengiktiraf secara rasmi tarikh 10 Muharram pada setiap tahun sebagai Hari Anak Yatim Malaysia.
Syor itu disuarakan sempena Program Sambutan Hari Anak Yatim PEYATIM 2026 peringkat kebangsaan dengan kerjasama Yayasan Waqaf Pendidikan Anak Yatim atau Miskin Malaysia (YAWATIM) di Batu Caves pada Sabtu.
Saranan berkenaan turut mendapat reaksi positif daripada Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Syed Kamaruzaman Syed Kaber yang hadir bagi menyempurnakan majlis berkenaan.
Menurut beliau, inisiatif tersebut amat wajar diberikan perhatian kerana mampu menjadi pemangkin kepada gerakan lebih tersusun dalam memperkukuh agenda kebajikan dan pembangunan golongan itu di negara ini.
"Pengiktirafan 10 Muharram sebagai Hari Anak Yatim Malaysia diharapkan menjadi titik tolak kepada usaha yang lebih menyeluruh dalam menyemai budaya kasih sayang, keprihatinan dan tanggungjawab bersama terhadap anak-anak yatim.
"Usaha itu sekali gus memastikan mereka terus mendapat perhatian, peluang pendidikan dan sokongan yang sewajarnya," katanya ketika berucap merasmikan program tersebut.
Cadangan mengangkat 10 Muharram sebagai Hari Anak Yatim Malaysia sebenarnya telah dicetuskan PEYATIM menerusi Mesyuarat Pengurusan pertubuhan itu kira-kira lapan tahun lalu.
Sejak itu, usaha berkenaan diteruskan secara sederhana oleh Ahli Gabungan PEYATIM di seluruh negara sebelum diperluaskan menerusi penganjuran sambutan peringkat kebangsaan.
Melalui pengiktirafan rasmi di peringkat nasional, PEYATIM berharap 10 Muharram dapat menjadi platform khusus untuk memperingati serta menghargai golongan anak yatim.
Pada masa sama, pengiktirafan itu bertujuan menggalakkan penyertaan lebih aktif daripada agensi kerajaan, sektor korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat dalam memperkukuh kebajikan, pendidikan serta pembangunan anak-anak yatim.
Sambutan berskala nasional bersempena 10 Muharram 1448H itu menghimpunkan kira-kira 300 anak yatim dan miskin daripada Ahli Gabungan PEYATIM di seluruh negara.
Penganjuran di peringkat kebangsaan itu turut menandakan anjakan signifikan berbanding sambutan sebelum ini yang hanya diadakan secara sederhana di peringkat rumah kebajikan.