KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang menjadi mangsa culik berjaya diselamatkan polis dalam tempoh 24 jam selepas dilarikan sekumpulan suspek yang menuntut wang tebusan sebanyak RM7 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, mangsa diselamatkan menerusi operasi khas di sebuah unit kediaman di kawasan Shah Alam pada jam 1 pagi Sabtu.
"Kejayaan itu susulan laporan polis yang dibuat isteri mangsa pada jam 1.30 pagi Jumaat.
"Wanita tempatan berusia 46 tahun itu memaklumkan suaminya telah diculik dan suspek menuntut wang tebusan sebanyak RM7 juta sebagai syarat pembebasan mangsa," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Kumar berkata, dalam operasi itu, polis turut menahan enam individu terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 30 hingga 46 tahun bagi membantu siasatan.
"Pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah, beberapa unit telefon bimbit pelbagai jenama serta beberapa kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah berkenaan," katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961.
"Selain itu, siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 turut dijalankan terhadap semua individu yang ditahan.
"Mahkamah turut membenarkan permohonan reman selama 10 hari ke atas semua suspek mengikut Seksyen 12 Akta Penculikan 1961," katanya.
Beliau berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti penglibatan individu lain, motif kejadian serta rangkaian jenayah yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes tersebut.
"Orang ramai dinasihatkan supaya terus menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu usaha membanteras jenayah, kita memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara menyeluruh, telus dan tanpa sebarang kompromi," ujarnya.