KUALA TERENGGANU – Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dilihat berpotensi menjadi ‘makmal politik’ penting dalam menguji konfigurasi baharu serta mengukur dinamika demokrasi negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Penganalisis politik, Dr Azrie Azeh berkata, dalam sejarah politik tanah air, pilihan raya peringkat negeri bukan sekadar proses memilih kerajaan, sebaliknya berfungsi sebagai petunjuk awal terhadap perubahan sentimen rakyat, medan menguji kekuatan organisasi parti, serta ruang percubaan strategi menjelang pilihan raya umum.
Menurut beliau, dengan jumlah 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, mana-mana gabungan politik memerlukan sekurang-kurangnya 19 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri.
"Walaupun jumlah kerusinya tidak terlalu besar, nilai strategik Negeri Sembilan amat tinggi kerana struktur politiknya mencerminkan kepelbagaian demografi Malaysia yang merangkumi kawasan luar bandar Melayu, separa bandar, dan pusat bandar," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Mengulas lanjut mengenai kemungkinan jalinan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), Azrie menjelaskan bahawa berdasarkan teori pembentukan gabungan politik (coalition theory), parti-parti cenderung bekerjasama demi mencapai manfaat elektoral yang lebih besar melalui penyatuan sumber dan jentera.
"Rasional paling utama bagi blok tersebut adalah untuk mengurangkan fenomena pecahan undi dalam sistem pilihan raya first-past-the-post.
"Saingan tiga penjuru sebelum ini sering memberi kelebihan kepada pihak lawan akibat perpecahan undi. Sekiranya BN dan PN mencapai persetujuan pembahagian kerusi, mereka berpotensi besar mengurangkan persaingan sesama sendiri, khususnya di kawasan majoriti Melayu,"katanya.
Beliau berkata, fakta jelas menunjukkan BN mempunyai kelebihan daripada sudut pengalaman pentadbiran yang panjang dan rangkaian akar umbi yang luas untuk menang selesa, manakala PN pula memiliki pengaruh besar dalam segmen pengundi Melayu melalui kekuatan jentera Pas serta politik berteraskan identiti dan nilai agama.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa politik bukan sekadar pengiraan matematik kerana cabaran utama BN-PN adalah persoalan keserasian pengundi akar umbi.
"Kerjasama di peringkat pimpinan tidak menjamin penyokong akan memindahkan sokongan secara automatik kerana pengundi akan sentiasa memilih secara rasional demi keuntungan mereka," jelasnya lagi.
Pada masa sama, beliau turut menarik perhatian mengenai impak psikologi kemenangan besar BN dalam PRN Johor sebelum ini yang melonjakkan keyakinan jentera serta memperkukuh kedudukan rundingan parti itu.
Katanya, situasi di Johor tidak boleh dipindahkan secara langsung ke Negeri Sembilan kerana setiap negeri mempunyai karakter sosial dan pola pengundian yang tersendiri.
"Landskap politik Negeri Sembilan disifatkan lebih kompleks dengan mengambil kira faktor pengaruh kawasan bandar, tahap pendidikan, isu pembangunan tempatan, dan kehadiran pengundi muda.
"Potensi kerjasama BN-PN ini dilihat akan memberikan cabaran besar kepada Pakatan Harapan (PH), terutamanya apabila formula satu lawan satu menghapuskan kelebihan undi pecah yang dinikmati PH sebelum ini.
"Namun, senario itu tidak bermakna PH akan melemah secara automatik kerana dalam sains politik, terdapat 'kesan mobilisasi' di mana penyokong PH boleh menjadi lebih aktif untuk mengekalkan kesinambungan politik apabila merasakan kedudukan mereka sedang dicabar. PH juga masih mempunyai kelebihan tersendiri di kawasan bandar, imej reformasi, serta kekuatan calon tempatan,"ujar beliau.
Azrie turut menggariskan tiga senario utama yang boleh berlaku dalam PRN Negeri Sembilan di mana menyaksikan BN-PN berjaya membentuk blok dominan sekiranya undi Melayu bersatu dan diterima oleh akar umbi, sekali gus bakal menjadi model strategi menghadapi PRU16.
"Senario kedua pula memperlihatkan PH kekal dominan sekiranya berjaya mempertahankan sokongan pengundi bandar dan sederhana yang mahukan kesinambungan pentadbiran manakala senario ketiga melibatkan keputusan seimbang di mana beberapa kerusi marginal menjadi penentu, sekali gus membuka ruang kepada rundingan politik pasca-pilihan raya.
"PRN Negeri Sembilan dilihat sebagai medan ujian fundamental sama ada politik masa depan akan ditentukan oleh kekuatan parti secara individu atau gabungan strategik, keputusan itu nanti akan mencorakkan dan menentukan wajah politik Malaysia pada dekad akan datang,"jelasnya.