KOTA BHARU – Perkembangan politik semasa dalam negara dan tekanan ekonomi dunia susulan konflik di Iran mampu meningkatkan kemungkinan kerajaan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) lebih awal, kata Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Beliau berkata, ia termasuk perkembangan persefahaman antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) selain perubahan sokongan rakyat yang akan memberi kesan kepada kedudukan kerajaan.
“Nak tak nak, kerajaan kena ambil risiko buat pilihan raya, mungkin Oktober atau November ini,” katanya kepada pemberita.
Beliau turut mendakwa sentimen tidak puas hati rakyat terhadap kerajaan semakin meningkat berdasarkan perkembangan politik mutakhir.
“Boleh lihat banyak reaksi rakyat terhadap kerajaan terutama di media sosial, lebih banyak menunjukkan tidak puas hati.
“Kalau berterusan, keadaan ini juga akan memberi kesan kepada kedudukan kerajaan pada pilihan raya akan datang,” katanya.
Mengulas konflik di Iran pula, katanya, memberi kesan kepada harga minyak dunia dan ekonomi global.
“Keadaan yang berlaku di Iran tidak akan selesai sehingga akhir tahun.
“Harga minyak akan meningkat, ekonomi dunia tidak bergerak dengan baik dan perniagaan turut terjejas, akhirnya akan memberi kesan kepada ekonomi negara dan desakan kepada kerajaan,” katanya.