MELAKA – Pembukaan Gighub Workspace di Taman Kota Syahbandar menjadi platform penting dalam membantu pekerja ekonomi gig khususnya golongan belia, mendapatkan ruang kerja kondusif serta peluang perluas menjana pendapatan.
Pengerusi World Youth Foundation (WYF), Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, Gighub Workspace merupakan fasiliti ketiga seumpamanya di Melaka yang menawarkan pelbagai kemudahan moden bagi memenuhi keperluan pekerja ekonomi gig.
Menurutnya, ruang kerja tersebut menyediakan persekitaran selesa, akses internet berkualiti serta pelbagai kemudahan lain pada kadar caj kompetitif dan mampu dimanfaatkan oleh pelbagai lapisan masyarakat.
"Ia membolehkan mereka menikmati kemudahan bertaraf global dalam suasana yang selesa bagi membantu menjana pendapatan," katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan Gighub Workspace di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, ekonomi gig merujuk kepada individu memperoleh pendapatan secara fleksibel tanpa majikan tetap dan melaksanakan tugasan mengikut projek atau kontrak diberikan pelanggan.
"Kebanyakan pekerja gig tidak mempunyai pejabat sendiri. Justeru, kemudahan seperti Gighub Workspace dapat dijadikan pusat operasi untuk menyiapkan tugasan pada kos yang lebih rendah.
"Melalui kemudahan dan persekitaran kerja yang kondusif, mereka bukan sahaja dapat menyiapkan projek dengan lebih selesa, malah berpeluang membina rangkaian yang lebih luas serta memperoleh lebih banyak tugasan," ujarnya.
Mohd Ridhwan berkata, Gighub Workspace turut berpotensi menjadi pusat sehenti yang menghubungkan penyedia perkhidmatan dengan masyarakat yang memerlukan khidmat profesional seperti reka bentuk grafik, pengurusan dokumen, penciptaan kandungan digital dan pelbagai perkhidmatan lain.
Sementara itu, Pengurus Besar Gighub Workspace, Raimi Mansur berkata, menyedari cabaran peningkatan kos operasi yang dihadapi usahawan kecil, khususnya usahawan Bumiputera yang baharu memulakan perniagaan.
Pihaknya menyediakan ruang yang sesuai untuk pelbagai aktiviti termasuk penstriman langsung (live hosting), jualan dalam talian, penghasilan kandungan digital, mesyuarat bersama pelanggan serta sesi pembentangan produk dan perkhidmatan tanpa memerlukan modal yang tinggi untuk menyewa premis atau studio khas.
Menurutnya, kemudahan itu turut dimanfaatkan oleh pelajar, pekerja jarak jauh, syarikat pemula, pekerja bebas serta orang awam yang memerlukan ruang kerja profesional, tenang dan lengkap dengan kemudahan asas bagi meningkatkan produktiviti.
"Selain berfungsi sebagai ruang kerja bersama, Gighub Workspace juga menjadi platform penganjuran program pembangunan keusahawanan, latihan kemahiran, seminar, sesi perkongsian ilmu, jaringan profesional serta aktiviti kemasyarakatan yang memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat.
"Moto kami, Quiet Space. Loud Hustle. mencerminkan aspirasi Gighub Workspace untuk menjadi ruang yang tenang dalam melahirkan idea-idea besar, menyokong pertumbuhan usahawan tempatan serta memperkasakan ekonomi komuniti secara mampan," katanya.
Beliau berkata, sempena pembukaan Gighub Workspace, pihaknya menawarkan promosi khas iaitu penggunaan ruang kerja secara percuma untuk sejam pertama, manakala caj RM5 dikenakan bagi setiap jam berikutnya.