Kanak-kanak 3 tahun jadi bintang mukbang, berat cecah 35kg cetus kecaman

Iklan
Berat badan kanak-kanak itu meningkat kepada 35 kilogram lebih dua kali ganda berbanding berat normal kanak-kanak seusianya. Foto Xiaopeiqi de Yitian

BEIJING – Tindakan sepasang ibu bapa di China yang menjadikan anak perempuan mereka berusia tiga tahun sebagai bintang video mukbang mengundang kecaman selepas berat badan kanak-kanak itu meningkat kepada 35 kilogram, lebih dua kali ganda berbanding berat normal kanak-kanak seusianya.

Menurut laporan media China yang dipetik daripada Oddity Central pada Jumaat, kanak-kanak yang dikenali dengan nama panggilan Peiqi itu sering dirakam ketika menikmati makanan berkalori tinggi seperti ayam goreng bersalut tepung dan daging berlemak sebelum dimuat naik ke platform media sosial seperti Douyin, iaitu versi TikTok di China.

Iklan
Iklan

Dalam video berkenaan, ibu bapanya menggunakan kapsyen seperti 'Anak 3 tahun gembul seberat 33 kilogram (kg)' dan 'Selera makan hebat' bagi menarik perhatian pengguna media sosial.

Trend mukbang yang memaparkan individu makan dalam kuantiti besar sebagai hiburan, sebelum ini sering menjadi perdebatan kerana dikaitkan dengan pembaziran makanan dan risiko kesihatan.

Iklan

Malah, beberapa kes kematian melibatkan penggiat mukbang turut pernah dilaporkan.

Kes Peiqi mencetuskan kemarahan orang ramai selepas berat badannya dilaporkan meningkat kepada 35 kg, sedangkan berat purata kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun biasanya sekitar 15 kg.

Iklan

Bagaimanapun, pasangan itu menafikan mereka memaksa anak mereka makan secara berlebihan.

Mereka mendakwa Peiqi sememangnya mempunyai selera makan yang tinggi sejak lahir dan menyatakan berat kelahirannya hanya 2.25 kg.

Mereka turut mendakwa pendapatan daripada video mukbang tersebut tidak mencukupi untuk menampung kos makanan anak mereka.

Susulan tekanan dan kritikan hebat daripada masyarakat, platform Douyin dilaporkan menyekat akaun berkaitan Peiqi, manakala ibu bapanya kemudian memadam akaun media sosial mereka.