CADANGAN kerajaan mewajibkan pesalah kemalangan jalan raya membayar pampasan kepada mangsa atau waris menerusi pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dilihat sebagai satu perubahan besar dalam landskap keadilan jenayah negara.
Jika sebelum ini hukuman terhadap pesalah lebih tertumpu kepada penjara, denda dan penggantungan lesen memandu, mekanisme baharu itu cuba mengimbangi elemen hukuman dengan tanggungjawab memulihkan kerugian yang ditanggung mangsa.
Cadangan tersebut juga secara tidak langsung mencerminkan perubahan pendekatan kerajaan daripada sekadar menghukum kepada memastikan pesalah bertanggungjawab terhadap implikasi perbuatan mereka.
Dalam banyak kes kemalangan maut atau menyebabkan kecederaan parah, keluarga mangsa bukan sahaja kehilangan insan tersayang, malah berdepan tekanan kewangan akibat kehilangan punca pendapatan, kos rawatan dan perbelanjaan harian.
Justeru, mekanisme pampasan di bawah prosiding jenayah dilihat mampu memberikan keadilan yang lebih menyeluruh.
Selama ini, waris atau mangsa terpaksa memfailkan saman sivil bagi menuntut pampasan, satu proses yang sering memakan masa bertahun-tahun serta melibatkan kos guaman yang tinggi.
Tidak semua mangsa mempunyai kemampuan kewangan untuk meneruskan tindakan undang-undang tersebut dan dengan cadangan baharu ini, beban berkenaan dapat dikurangkan kerana mahkamah jenayah turut diberikan kuasa menentukan pampasan berdasarkan fakta kes.
Bagaimanapun, pelaksanaan mekanisme itu bukan tanpa cabaran kerana persoalan utama ialah bagaimana pampasan akan ditentukan secara adil, khususnya apabila melibatkan kehilangan nyawa yang sukar dinilai dengan wang ringgit.
Selain itu, kerajaan juga perlu menyediakan mekanisme yang jelas sekiranya pesalah tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk membayar pampasan yang diperintahkan mahkamah.
Dalam konteks ini, libat urus bersama syarikat insurans, badan kehakiman dan pihak berkepentingan menjadi langkah penting bagi mengelakkan pertindihan antara pampasan mahkamah, tuntutan insurans dan tindakan sivil.
Kerangka yang dibangunkan perlu memastikan hak mangsa terus terpelihara tanpa mewujudkan konflik perundangan baharu.