Israel lulus cadangan tempatkan buaya di sekitar penjara

Iklan
Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben-Gvir, bercadang untuk menempatkan buaya di sekitar penjara keselamatan.- Foto The Jurusalem.

BAITULMAQDIS – Menteri Perlindungan Alam Sekitar Israel, Idit Silman, mengisytiharkan buaya Nil sebagai 'haiwan liar ternakan' bagi membolehkan pelaksanaan cadangan kontroversi Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben-Gvir, untuk menempatkan buaya di sekitar penjara keselamatan.

Menurut laporan The Jerusalem Post, langkah itu diambil bagi membolehkan Perkhidmatan Penjara Israel (IPS) menggunakan buaya sebagai sebahagian daripada sistem keselamatan di penjara, termasuk projek perintis di Penjara Ketziot yang menempatkan tahanan keselamatan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, cadangan itu mendapat bantahan daripada Penasihat Undang-Undang Kementerian Perlindungan Alam Sekitar serta Pihak Berkuasa Alam Semula Jadi dan Taman Negara Israel yang menegaskan haiwan liar hanya boleh dipelihara bagi tujuan pendidikan, penyelidikan dan pemuliharaan, bukannya sebagai kawalan keselamatan.

Penasihat undang-undang kementerian, Neta Drori berkata, tiada bukti profesional atau contoh moden yang menyokong penggunaan buaya sebagai sistem keselamatan penjara.

Iklan

Beliau turut mempersoalkan dakwaan bahawa kaedah itu pernah digunakan di Amerika Syarikat (AS) dan Amerika Selatan, dengan menjelaskan percubaan di AS hanya bersifat sementara sebelum dihentikan.

Drori turut memberi amaran bahawa Perkhidmatan Penjara Israel tidak mempunyai kepakaran mengendalikan haiwan liar berbahaya seperti buaya, selain membangkitkan kebimbangan terhadap kebajikan haiwan dan keselamatan awam.

Iklan

Walaupun menerima bantahan tersebut, Silman tetap meneruskan keputusan berkenaan dengan alasan terdapat pegawai kanan Pihak Berkuasa Alam Semula Jadi dan Taman Negara yang tidak membantah inisiatif itu serta mendakwa kerangka undang-undang berkaitan sudah wujud.

Namun, beberapa pegawai profesional menegaskan tindakan menteri itu bertentangan dengan nasihat undang-undang, pendirian pihak berkuasa hidupan liar serta peruntukan undang-undang sedia ada, malah berpendapat sebarang perubahan sedemikian memerlukan pindaan akta di Parlimen, bukannya keputusan menteri semata-mata. -Agensi