SHAH ALAM - Malaysia tidak seharusnya membenarkan individu yang integritinya menjadi pertikaian atau dikaitkan dengan kontroversi di peringkat antarabangsa diberi amanah mengurus aset strategik negara tanpa melalui proses penilaian dan penelitian menyeluruh.
Ketua Penerangan Parti Wawasan Negara (Wawasan), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, laporan Reuters mengenai pelantikan Sultan Ahmed Bin Sulayem sebagai Pengerusi Eksekutif MMC Port Holdings, sekiranya benar menimbulkan persoalan yang wajar dijelaskan oleh kerajaan kepada rakyat.
Menurutnya, MMC Port mengendalikan rangkaian pelabuhan terbesar negara yang merupakan aset strategik melibatkan perdagangan, rantaian bekalan, keselamatan maritim dan kedaulatan ekonomi Malaysia.
"Jawatan sebesar ini bukan sahaja memerlukan pengalaman dalam dunia perniagaan, malah menuntut tahap integriti, kebijaksanaan dan keyakinan awam yang tidak boleh dipersoalkan.
"Menurut Reuters, Bin Sulayem sebelum ini melepaskan jawatannya di DP World selepas kembali menjadi perhatian antarabangsa susulan pendedahan dokumen Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) yang menjadi kontroversi diseluruh dunia," katanya dalam satu hantaran Facebook pada Jumaat.
Wan Ahmad Faysal berpandangan, hakikat terbabit sahaja sepatutnya mencetuskan proses penelitian (due diligence) yang paling teliti.
Justeru, beliau berkata, kerajaan perlu menjelaskan sama ada semakan keselamatan negara dan penilaian integriti telah dijalankan secara menyeluruh sebelum pelantikan tersebut dibuat.
Katanya, kerajaan juga perlu menjawab sama ada kontroversi dilaporkan di peringkat antarabangsa telah dinilai dengan sewajarnya, selain sama ada kementerian serta agensi berkaitan telah mempertimbangkan risiko terhadap reputasi, keselamatan dan kepentingan strategik negara sebelum memberikan kelulusan.
"Di seluruh dunia, pelantikan bagi mengurus infrastruktur kritikal lazimnya melalui tapisan keselamatan dan integriti yang sangat ketat. Malaysia tidak sepatutnya meletakkan piawaian yang lebih rendah," menurut beliau lagi.
Wan Ahmad Fayhsal berkata, sekiranya pelantikan dibuat tanpa proses penelitian yang benar-benar menyeluruh dan telus, ia akan menimbulkan persoalan serius terhadap mutu tadbir urus negara.
Menurutnya, rakyat berhak mendapat jaminan bahawa setiap individu yang diberi amanah mengurus aset strategik negara telah melalui penilaian yang paling ketat.
"Pelabuhan bukan sekadar pusat perdagangan. Ia merupakan pintu masuk ekonomi negara, benteng keselamatan maritim dan salah satu asas penting kepada kedaulatan Malaysia," kongsinya lagi.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan, MMC Corporation serta semua pihak berkuasa berkaitan memberikan penjelasan secara terbuka mengenai proses penilaian dan due diligence yang telah dilaksanakan sebelum pelantikan dibuat.
"Dalam soal aset strategik negara, ketelusan bukan satu pilihan, sebaliknya satu kewajipan. Kedaulatan, keselamatan dan kepentingan jangka panjang Malaysia mesti sentiasa mengatasi segala pertimbangan lain," tegasnya lagi.