SHAH ALAM - Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa pendekatan politik Pas lebih menyerupai prinsip Machiavellian, bukannya berteraskan Islam.
Prinsip Machiavellian merujuk kepada pendekatan politik yang menghalalkan cara demi mencapai dan mengekalkan kuasa.
Menurutnya, ia dibuktikan melalui beberapa tindakan parti itu sepanjang kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) mencerminkan amalan politik yang mengutamakan pencapaian matlamat tanpa mengira prinsip sepatutnya menjadi pegangan.
"Melengah-lengahkan persiapan PN untuk PRN Johor dan Negeri Sembilan atas tujuan tertentu, serta muslihat 'menyingkirkan' Bersatu daripada PN bukan cara Islam, tetapi cara Pas," katanya menerusi hantaran di media sosial pada Jumaat.
Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Khamis mengumumkan akan bertanding di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16, sekali gus mengesahkan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) apabila melengkapkan jumlah keseluruhan 36 kerusi di negeri itu.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini mengakui sedang mengadakan rundingan dengan gabungan berkenaan dan perbincangan antara kedua-dua pihak sedang berjalan serta menunjukkan perkembangan yang positif.
Perkembangan terbaharu mengundang kritikan dalam kalangan pemimpin Bersatu yang juga rakan parti komponen dalam gabungan PN hingga memaksa parti dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin memilih untuk bertanding dengan menggunakan logonya sendiri pada PRN Negeri Sembilan kali ini.
Mengulas lanjut, Tun Faisal berkata, tindakan yang dibuat Pas itu tidak mencerminkan prinsip dibawa parti itu.
"Apabila matlamat menghalalkan apa jua cara, itu bukan nilai yang diajarkan oleh Islam, tetapi amalan politik Machiavellian," katanya.