MELAKA - Pengundi Barisan Nasional (BN) tetap diwajibkan memberikan undi kepada calon gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Sabtu ini, meskipun tidak menyukai individu yang dipilih mewakili parti.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan kepimpinan memilih seseorang calon perlu dihormati dan menjadi tanggungjawab semua pengundi daripada parti komponen BN untuk memastikan kemenangan calon berkenaan.
Menurutnya, beliau sendiri meneliti latar belakang calon sebelum menandatangani watikah bagi memastikan mereka yang dipilih mendapat kepercayaan kepimpinan parti.
“Saya telah menentukan calon berdasarkan kepercayaan yang diberikan oleh Pengerusi BN Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata demikian selepas Perjumpaan Khas Jentera Tangga Batu di Bilik Gerakan Pilihan Raya Parlimen Tangga Batu pada Rabu.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut memberikan kata nasihat dan semangat kepada calon BN DUN Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi supaya bekerja lebih kuat dan berkhidmat lebih baik jika diberi mandat sekali lagi menjadi wakil rakyat di DUN berkenaan.
“Apa yang Datuk tuminah tidak dikata oleh orang yang tak suka dengan dia? Macam-macam, sampai hati bonda saya dikata oleh orang.
“Jika selepas ini insya-ALLAH terpilih sebagai ADUN semula, komen-komen negatif itu cuba lihat dan perbaikilah. Turun ke bawah, santuni rumah semua pengundi dan rakyat di Pantai Kundor.
“Jangan kira sama ada orang itu Cina, India ataupun apa bangsa sekalipun, mereka adalah rakyat yang harus disantuni.
“Begitu juga rumah yang kita tahu tidak pernah menyokong kita atau orang yang tidak menyokong kita, lupakan. Kita santuni mereka supaya Datuk Tuminah menjadi wakil rakyat terbaik untuk penggal kedua ini,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid turut mengingatkan calon BN DUN Sungai Udang, Datuk Rais Yasin supaya memberi perhatian kepada kebajikan kira-kira 9,700 pengundi dalam kalangan anggota tentera di kawasan berkenaan.
Katanya, Rais telah berjanji untuk menyalurkan satu pertiga daripada peruntukan 33 peratus yang diterimanya sebagai wakil rakyat kepada pengundi terdiri daripada pegawai dan anggota tentera di Sungai Udang.
“Jangan ambil mudah, biarpun mereka tentera atau keluarga tentera, mereka adalah pengundi kita.
“Lazimnya terdapat Ahli Parlimen atau ADUN yang tidak mengambil kepedulian terhadap mereka. Mereka adalah pengundi kita. Rais.. saya akan pantau,” katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap calon BN DUN Klebang, Datuk Lim Ban Hong yang disifatkan mempunyai penerimaan baik dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
Ahmad Zahid berharap gabungan calon BN termasuk Rais, Tuminah, Ban Hong dan seorang lagi calon gabungan daripada Perikatan Nasinal Paya Rumput, Rafie Ahmad itu mampu membawa pembangunan lebih menyeluruh di kawasan Parlimen Tangga Batu.