KUALA LUMPUR - Seorang penghantar makanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan menunggang motosikal secara melulu sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal lain, semalam.
Muhammad Ridzuan Armis, 21, didakwa menunggang motosikal Yamaha secara melulu sehingga menyebabkan kematian Muhammad Nazri Shahadan, 47, di Jalan Dewan Bahasa dari arah Jalan Hang Tuah menghala ke Jalan Istana di sini pada 2.30 pagi, 16 Julai.
Iklan
Iklan
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda minimum RM20,000 dan sehingga RM50,000, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa, Inspektor Shazwan Hasifi Shahrun memohon jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin manakala peguam Ammanjeet Singh yang mewakili lelaki itu merayu jumlah rendah atas faktor usia selain ia kesalahan pertama anak guamnya.
Majistret Aliaa Anwar membenarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan lesen lelaki itu digantung sehingga perbicaraan selesai serta menetapkan sebutan kes pada 2 Oktober.
Semalam, media melaporkan seorang penunggang motosikal lelaki maut apabila bertembung dengan seorang penunggang motosikal lain yang melawan arus bagi mengelak sekatan jalan raya (SJR).
Kejadian berlaku kira-kira 50 meter dari lokasi SJR dan mangsa yang cedera parah di kepala meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur. - Bernama