SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak pernah berpisah secara sukarela atau ‘mufarakah’ daripada Perikatan Nasional (PN) seperti yang didakwa Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya kesal dengan tohmahan sedemikian sedangkan Bersatu yang mengasaskan PN dan sehingga kini masih sah menjadi anggota gabungan itu.
Bagaimanapun, beliau berkata, hak-hak Bersatu sebagai parti anggota dan parti pengasas PN dinafikan dalam beberapa perkara termasuk rundingan kerusi pilihan raya.
"Bersatu juga tidak dijemput menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional yang memuktamadkan pembahagian kerusi parti-parti anggota PN.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Annuar menganggap keputusan Bersatu untuk bertanding menggunakan logo sendiri menunjukkan bahawa parti tersebut secara sukarela memilih 'mufarakah' daripada gabungan berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Annuar berkata, pengumuman Bersatu itu dibuat sebelum Mesyuarat Khas MT PN yang dijadual berlangsung bagi memuktamadkan isu calon, pembahagian kerusi dan penggunaan lambang.
Bagaimanapun, beliau menyifatkan tindakan Bersatu tersebut sebagai hak parti berkenaan yang perlu dihormati.
Mengulas lanjut mengenai rundingan dengan Barisan Nasional (BN), Muhyiddin berkata, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengakui memberi kebenaran untuk perkara itu dijalankan.
Menurutnya, Bersatu tidak mempersoalkan rundingan berkenaan kerana ia melibatkan perkara dasar yang sepatutnya dibawa terlebih dahulu ke MT PN.
Namun, kata Ahli Parlimen Pagoh itu, perkara sebaliknya berlaku apabila rundingan dibuat tanpa melibatkan semua parti anggota serta tanpa mandat MT PN.
"Setelah keputusan mengenai kerjasama dibuat, barulah dibawa ke majlis tertinggi. Ini cara yang songsang.
"Sepanjang lima tahun memimpin PN, saya tidak pernah mengetepikan mana-mana parti anggota dalam proses membuat keputusan PN, termasuk hal-hal dasar parti dan pembahagian kerusi pilihan raya," katanya.
Muhyiddin turut menolak dakwaan bahawa Bersatu menjadi penghalang kepada penyatuan Melayu, sambil menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab.
Beliau turut menyifatkan situasi sedemikian bukan penyatuan Melayu yang sebenar, tetapi sekadar penjajaran semula kuasa politik.
"Apapun saya mengucapkan selamat maju jaya kepada PN," katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengimbas kembali sejarah penubuhan Bersatu serta gagasan awal pembentukan PN sebagai gabungan yang menghimpunkan parti Melayu termasuk UMNO serta parti pelbagai kaum lain.
"Namun, UMNO menolak untuk menyertai PN dan tidak mahu menjadi sebahagian daripada parti dalam kerajaan PN. Hanya Ahli Parlimen UMNO yang menyokong.
"Ahli-ahli Parlimen UMNO ini kemudiannya berkomplot untuk menjatuhkan kerajaan PN, iaitu sebuah kerajaan yang dipimpin orang Melayu dan parti Melayu," katanya.