SEMENYIH – Seorang lelaki Bangladesh yang memiliki MyPR (Pemastautin Tetap Malaysia) dipercayai mengurus serta membekalkan pekerja asing tanpa kebenaran dan kelulusan yang sah dengan berselindung di sebalik premis perniagaan diberkas di sini pada Rabu lalu.
Operasi bermula pada jam 12.20 tengah hari di dua lokasi itu dijalankan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, hasil risikan selama sebulan berjaya menahan suspek yang dipercayai pemilik syarikat dan majikan.
Menurutnya, turut ditahan empat lelaki warga Bangladesh, seorang wanita Bangladesh serta seorang wanita Thailand.
"Semakan awal mendapati majikan warga Bangladesh terbabit memiliki MyPR, manakala tangkapan lain membabitkan seorang lelaki Bangladesh yang memiliki Pas Pelajar, seorang wanita Thailand yang memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (pekerja restoran) dan warga asing lain yang tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini.
"Pasukan operasi telah menyita 31 naskhah pasport Bangladesh, satu naskhah pasport Thailand, salinan dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta wang tunai berjumlah RM48,524," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, modus operandi suspek adalah dengan menguruskan dan membekalkan pekerja asing tanpa kebenaran dan kelulusan yang sah.
Katanya, suspek turut menyasarkan majikan tempatan, khususnya di Lembah Klang yang memerlukan tenaga kerja warga asing.
"Kegiatan ini berselindung di sebalik premis perniagaan dan premis makanan bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
"Bayaran yang dikenakan untuk menguruskan dan memperbaharui pas ialah sebanyak RM4,000 bagi setiap seorang," ujarnya.
Tambahnya, kesemua tangkapan berusia antara 27 hingga 57 tahun dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
"Seorang lelaki dan tiga wanita tempatan serta seorang lelaki Bangladesh telah diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan," ujarnya.
Tegasnya, suspek utama disiasat mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, manakala tangkapan lain disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
"Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan terus mempergiatkan operasi dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terus terpelihara," ujarnya.