SHAH ALAM - Kehilangan penglihatan sepenuhnya pada usia 20 tahun akibat glaukoma bukan noktah kehidupan Mohamad Nur Affiq Mohd Radzi, sebaliknya menjadi permulaan untuk membuktikan kekurangan fizikal tidak menghalang seseorang menguasai kemahiran yang sering dianggap mustahil.
Lelaki berusia 39 tahun dari Sentul, Kuala Lumpur itu kini mencuri perhatian pengguna TikTok apabila kerap berkongsi siaran langsung memaparkan dirinya membaiki dan melakukan pendawaian barangan elektrik.
Mohamad Nur Affiq berkata, minat terhadap bidang pendawaian bermuka sejak kecil kerana sering melihat bapa saudaranya yang bekerja sebagai pendawai.
"Saya memang mengetahui sedikit asas pendawaian elektrik kerana bapa saudara saya seorang 'wireman'.
Anak sulung daripada empat beradik itu memaklumkan, dia kehilangan kedua-dua belah penglihatan akibat glaukoma ketika masih menuntut di institusi pengajian.
Bagaimanapun, keadaan itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus belajar dan menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu.
Menurutnya, pengalaman serta pengetahuan mengenai kerosakan sesuatu peralatan menjadi panduan utama setiap kali melakukan kerja pembaikan.
"Saya mengenal pasti masalah berdasarkan pengalaman dan maklumat mengenai kerosakan sesuatu barangan.
"Saya juga mempunyai beberapa alat yang membantu mengenal pasti kerosakan, antaranya 'voltage tester' yang mengeluarkan bunyi apabila terdapat aliran elektrik," jelasnya.
Meskipun videonya mendapat perhatian ramai di media sosial, Mohamad Nur Affiq berkata, kerja pendawaian bukanlah sumber pendapatan utama, sebaliknya, kemahiran itu dimanfaatkan bagi membantu diri sendiri, ahli keluarga dan individu terdekat.