Permohonan pembiayaan PMKS bawah RM1 juta disasar lulus 14 hari

Iklan
Steven (dua kanan) merasmikan Taklimat Pembiayaan dan Akses Pasaran PMKS anjuran SME Corp Malaysia dengan kerjasama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kedah (KCCCI) di Alor Setar pada Khamis.

ALOR SETAR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan permohonan pembiayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di bawah RM1 juta melalui Bank Rakyat dan SME Bank diputuskan dalam tempoh 14 hari sebagai usaha mengurangkan kerenah birokrasi yang sering dihadapi usahawan.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, kementerian berusaha memastikan semua usahawan tanpa mengira kaum mendapat akses kepada pembiayaan dan sokongan yang diperlukan bagi mengembangkan perniagaan serta meningkatkan daya saing.

Iklan
Iklan

Menurutnya, usaha mempercepat proses kelulusan pembiayaan itu penting bagi memastikan usahawan tidak perlu menunggu terlalu lama untuk mendapatkan keputusan.

"Sebab itu saya menetapkan sasaran supaya permohonan pembiayaan di bawah RM1 juta melalui Bank Rakyat dan SME Bank diputuskan dalam tempoh 14 hari.

Iklan

"Kita faham perubahan ini tidak boleh berlaku serta-merta dan mungkin belum 100 peratus sempurna. Tetapi kalau kita tidak tetapkan sasaran, 14 hari boleh jadi 14 bulan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Taklimat Pembiayaan dan Akses Pasaran PMKS anjuran SME Corp Malaysia dengan kerjasama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kedah (KCCCI) di sini pada Khamis.

Iklan

Steven berkata, bagi pembiayaan mikro TEKUN di bawah RM20,000 pula, KUSKOP sedang melaksanakan program rintis dengan sasaran kelulusan dalam tempoh 24 jam.

Katanya, inisiatif itu mencerminkan kesungguhan kementerian dalam mempermudah urusan usahawan, khususnya perusahaan mikro yang memerlukan pembiayaan segera bagi meneruskan operasi perniagaan.

Beliau berkata, siri jelajah KUSKOP bersama SME Corp Malaysia sebelum ini telah diadakan di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor sebelum diteruskan di Kedah bagi memberi peluang kepada lebih ramai usahawan mendapatkan maklumat secara terus daripada agensi berkaitan.

"Program ini akan diteruskan ke negeri-negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak supaya lebih ramai usahawan dapat berinteraksi secara langsung dengan agensi di bawah KUSKOP," ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi SME Corp Malaysia, Datuk Teng Chang Khim berkata, sebanyak lapan program pembangunan PMKS sedang dilaksanakan tahun ini di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) membabitkan peruntukan RM117 juta.

Menurutnya, SME Corp. Malaysia turut memperkenalkan beberapa inisiatif baharu termasuk Program Pembiayaan Khas untuk Perusahaan Milikan Cina (BERKAT) serta Program Sokongan Industri dan Perniagaan Rakyat (SINAR).

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy berkata, Program SINAR menerima peruntukan RM205 juta bagi membantu PMKS mengekalkan aliran tunai dan meneruskan operasi perniagaan.

Taklimat Pembiayaan dan Akses Pasaran PMKS ini turut disertai oleh institusi kewangan konvensional dan pembiayaan alternatif seperti Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Rakyat, SME Bank, Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), Agrobank, microLEAP PLT dan CapBay.