Argentina berdepan tindakan tatatertib susulan insiden sepanduk kepulauan Falkland

Iklan
Argentina pernah didenda oleh FIFA selepas memaparkan sepanduk dengan slogan sama susulan perlawanan persahabatan menentang Slovenia pada 2014. Foto: Agensi

SKUAD kebangsaan Argentina bakal berdepan tindakan tatatertib selepas pemainnya memaparkan sepanduk mengenai Kepulauan Falkland sejurus kemenangan ke atas England pada aksi separuh akhir Piala Dunia FIFA, lapor PA Media/dpa.

Artikel 34.3 peraturan kejohanan melarang pemain daripada memaparkan sebarang mesej atau slogan berunsur politik sebelum, semasa atau selepas perlawanan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, beberapa pemain Argentina mengangkat sepanduk bertulis"Las Malvinas son Argentinas", yang bermaksud"Kepulauan Falkland adalah milik Argentina", selepas kemenangan di Atlanta.

Kepulauan Falkland ialah wilayah seberang laut United Kingdom (UK), dengan penduduk kepulauan itu mengundi untuk terus kekal di bawah pentadbiran UK pada 2013. Pada April 1982, tentera Argentina menyerang kepulauan itu, namun terpaksa menyerah kalah menjelang Jun tahun yang sama.

Iklan

Argentina pernah didenda oleh FIFA selepas memaparkan sepanduk dengan slogan sama susulan perlawanan persahabatan menentang Slovenia pada 2014.

Bekas pemain skuad kebangsaan England Peter Reid menyifatkan tindakan Argentina memaparkan sepanduk itu sebagai"melampaui batas".

Iklan

Apabila ditanya sama ada denda sudah memadai, Reid berkata kepada program BBC Breakfast pada Khamis:"Apa lagi yang boleh dilakukan? Saya tidak tahu."

Jurulatih Argentina Lionel Scaloni sebelum perlawanan menentang England pada Rabu berkata beliau mahu mengelak daripada mencampuradukkan politik dengan bola sepak, namun kenyataan Naib Presiden Argentina Victoria Villarruel yang menyifatkan England sebagai"penjajah" dan"lanun yang merampas hak orang lain" menerusi hantaran di platform X sebelum perlawanan tidak membantu keadaan.

Tindakan Argentina itu turut dikecam oleh Setiausaha Perniagaan UK Peter Kyle pada Khamis, yang menyifatkan paparan sepanduk berkenaan sebagai"sangat tidak wajar". - Bernama-PA Media/dpa