KESILAPAN luar biasa penjaga gol kelab Argentina, Ezequiel Bacher mencuri perhatian peminat bola sepak apabila tindakannya melontarkan bola ke arah rakan sepasukan berakhir dengan jaringan ke gawang sendiri.
Insiden itu berlaku ketika Bacher yang mewakili Comunicaciones beraksi menentang Arsenal dalam aksi play-off Primera B Argentina.
Penjaga gol berusia 30 tahun itu pada mulanya dilihat tidak berdepan sebarang masalah apabila berjaya menangkap hantaran lintang lemah sebelum bersedia melancarkan serangan balas.
Ketika itu, pemain kedua-dua pasukan sudah meninggalkan kawasan kotak penalti dan Bacher mempunyai ruang untuk menggerakkan bola ke bahagian hadapan.
Bagaimanapun, situasi bertukar sebaliknya apabila bola yang dilontarkannya itu terus menerjah gawang sendiri sekali gus menghadiahkan gol pendahuluan buat Arsenal.
Kesilapan tersebut pantas tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi peminat yang menyifatkannya antara jaringan sendiri paling aneh pernah disaksikan dalam bola sepak.
Penyerang Arsenal, Franco Luca, turut meraikan jaringan itu dengan penuh kegembiraan seolah-olah beliau sendiri yang menghasilkan gol berkenaan.
Comunicaciones bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan selepas itu, namun kembali ketinggalan tiga minit kemudian sebelum Matias Sosa melebarkan jurang kepada 3-1 menjelang tamat babak pertama.
Joaquin Ibanez kemudian merapatkan kedudukan buat Comunicaciones apabila menjaringkan gol kedua untuk menjadikan keputusan 3-2.