TML diiktiraf makmal analisis REE bertaraf antarabangsa

Iklan
Penubuhan TML turut melengkapi peranan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Mineral (CoE) dan menyokong pertumbuhan sektor mineral bernilai tinggi selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030.

IPOH - Terra Mineral Lab Sdn Bhd (TML), anak syarikat milik penuh Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc), menerima akreditasi MS ISO/IEC 17025:2017 di bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia daripada Jabatan Standard Malaysia.

Akreditasi yang diterima pada Jun lalu itu mengiktiraf keupayaan TML menyediakan perkhidmatan analisis mineral yang tepat dan boleh dipercayai mengikut piawaian antarabangsa, khususnya dalam analisis unsur nadir bumi (REE).

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Datuk Anuar Zainal Abidin berkata, pencapaian tersebut merupakan langkah penting dalam membangunkan kepakaran tempatan serta memperkukuh ekosistem industri mineral di negeri ini.

“Pengiktirafan bertaraf antarabangsa ini mencerminkan kesungguhan TML mematuhi piawaian yang ditetapkan, selain memperkukuh kedudukan Perak sebagai hab penyelidikan REE yang berdaya saing di peringkat negara.

Iklan

“Pencapaian ini sekali gus mengangkat TML sebagai makmal analisis REE bagi bahan karbonat nadir bumi atau rare earth carbonate (REC) yang berkeupayaan menganalisis, mengenal pasti dan menentusahkan pelbagai kandungan mineral, khususnya REE,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, akreditasi tersebut turut meningkatkan keyakinan pemain industri terhadap perkhidmatan analisis TML, selain menyokong usaha mengurangkan kebergantungan kepada makmal luar.

Iklan

“Keupayaan ini membolehkan proses analisis dan penentusahan kandungan mineral dilaksanakan secara tempatan dengan tahap ketepatan tinggi, sekali gus menyokong penyelidikan, pembangunan industri serta pelaksanaan agenda Perlombongan Bertanggungjawab,” katanya.

TML ditubuhkan pada 2024 sebagai langkah kerajaan negeri melalui MB Inc membina keupayaan tempatan dalam analisis kandungan mineral, mengurangkan kebergantungan kepada makmal luar serta memperkukuh rantaian nilai industri mineral.

Operasi TML disokong oleh tiga instrumen analisis berteknologi tinggi iaitu Inductively Coupled Plasma Mass Spectrometry (ICP-MS), Wavelength Dispersive X-Ray Fluorescence (WD-XRF) dan Micro X-Ray Fluorescence (Micro-XRF).

TML ditubuhkan pada 2024 sebagai langkah kerajaan negeri melalui MB Inc membina keupayaan tempatan dalam analisis kandungan mineral, mengurangkan kebergantungan kepada makmal luar serta memperkukuh rantaian nilai industri mineral.

Penubuhannya turut melengkapi peranan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Mineral (CoE) dan menyokong pertumbuhan sektor mineral bernilai tinggi selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030.

TML bersama CoE dirasmikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada 3 Oktober 2024 di Kawasan Perindustrian Gopeng sebagai sebahagian usaha kerajaan negeri membangunkan industri mineral secara tersusun dan bertanggungjawab.

Pada 8 Disember tahun sama, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan melawat TML bagi meninjau operasi makmal analisis unsur nadir bumi bukan radioaktif pertama di Malaysia.