SHAH ALAM - Kerajaan diminta menjelaskan jumlah pelarian Rohingya yang telah ditempatkan semula ke negara ketiga serta langkah yang diambil bagi mempercepatkan proses berkenaan.
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, perkara itu dibangkitkannya pada sidang Dewan Rakyat susulan seramai 126,144 etnik Rohingya direkodkan berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia setakat akhir Februari 2026.
Beliau berkata, kerajaan perlu menjelaskan jumlah pelarian Rohingya yang telah ditempatkan semula ke negara ketiga selain langkah yang diambil bagi mempercepatkan proses tersebut.
"Isu ini perlu diurus secara menyeluruh dan mempunyai hala tuju yang jelas.
"Kebimbangan rakyat berkaitan aspek keselamatan, penguatkuasaan dan kesan sosial juga mesti diberi perhatian.
"Kerajaan perlu tampil dengan penyelesaian jangka panjang yang lebih jelas dan berkesan," katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Khamis.
Isu pelarian Rohingya sering dibangkitkan dalam persidangan Dewan Rakyat, khususnya berkaitan pengurusan pelarian, aspek keselamatan, penguatkuasaan undang-undang serta usaha penempatan semula ke negara ketiga.
Kerajaan sebelum ini turut menjelaskan, Malaysia terus bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan negara ketiga dalam menguruskan isu berkenaan.