SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengimbau detik bersejarah beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia keempat pada 16 Julai 1981 sempena ulang tahun pelantikannya pada Khamis.
Perkongsian itu dibuat menerusi satu hantaran di Facebook yang disertakan dengan video pendek memaparkan rakaman upacara angkat sumpah jawatan.
Selain memaparkan detik pelantikannya, video berkenaan turut memuatkan perkongsian beliau mengenai perjalanan menjadi Perdana Menteri serta pendekatan diterapkannya sepanjang berkhidmat dalam pentadbiran negara.
Dalam rakaman itu, Dr Mahathir mengangkat sumpah untuk menunaikan kewajipan jawatan dengan jujur, menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia, memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan.
Beliau turut mengakui tidak pernah benar-benar menyangka akan menjadi Perdana Menteri meskipun pernah menyimpan impian tersebut kerana berasal daripada keluarga sederhana.
"Macam Tunku, dia Tunku. Tun Abdul Razak, dia daripada golongan elit. Tun Hussein, keturunan Dato' Onn. Orang-orang ada nama. Saya duduk di bawah. Tiba-tiba naik jadi nombor satu. Saya tak percaya," katanya.
Dr Mahathir berkata, perkara yang bermain di fikirannya ketika itu hanyalah sama ada pelantikan tersebut benar-benar berlaku.
"But what is in my mind is that the question: is this real?" katanya sambil mengakui sukar mempercayai beliau benar-benar telah menjadi Perdana Menteri.
Beliau berkata, ketika mula memegang jawatan dalam Kabinet, antara perkara yang paling diberi perhatian ialah soal disiplin masa.
Katanya, beliau sentiasa memastikan dirinya hadir ke pejabat tepat pada waktunya dan berasa kecewa apabila individu yang mempunyai janji temu hadir lewat.
"Semasa menjadi Menteri Industri, saya pernah mendapati ramai kakitangan meninggalkan pejabat sebelum tamat waktu bekerja.
"Apabila ditanya, alasan yang diberikan ialah mereka mahu mengelakkan kesesakan lalu lintas." katanya.
Beliau bagaimanapun berpandangan, tindakan itu tidak wajar kerana setiap kakitangan perlu menunaikan tanggungjawab mengikut tempoh waktu bekerja yang telah ditetapkan.
Susulan itu, katanya, beliau mengambil keputusan memperkenalkan sistem kad perakam waktu bagi merekodkan waktu masuk dan keluar kakitangan.
"So after that, I decided that... ada time record of their comings and goings. And that has become something well known," katanya.
Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia keempat pada 16 Julai 1981 sebelum menerajui pentadbiran negara selama lebih dua dekad.
Beliau kemudiannya kembali memegang jawatan Perdana Menteri buat kali kedua pada 2018.