SYDNEY – Lebih 500 pelarian Rohingya dikhuatiri maut selepas dua bot yang membawa mereka dipercayai karam di Teluk Benggala, menurut Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) pada Khamis,lapor AP.
Menurut maklumat awal, kedua-dua bot itu berlepas dari negeri Rakhine, Myanmar pada penghujung Jun dengan membawa sebahagian besar penumpang Rohingya, termasuk beberapa pelarian dari kem di Bangladesh.
Sebuah bot yang dipercayai membawa kira-kira 250 penumpang dilaporkan terputus hubungan sejurus selepas berlepas, manakala sebuah lagi yang membawa sekitar 280 orang dipercayai tenggelam di pesisir Ayeyarwady pada 8 Julai.
Bagaimanapun, IOM dan UNHCR memaklumkan insiden serta jumlah sebenar korban masih belum dapat disahkan, namun menyifatkan kejadian itu berpotensi menjadi antara tragedi paling buruk melibatkan pelarian Rohingya.
Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu menjelaskan hujan lebat dan banjir yang melanda rantau berkenaan sejak kebelakangan ini menjadikan pelayaran melalui Teluk Benggala lebih berbahaya, terutama ketika musim monsun.
Krisis kemanusiaan yang berlarutan di Myanmar dan kem pelarian di Bangladesh terus memaksa ramai Rohingya mempertaruhkan nyawa menaiki bot usang untuk mencari perlindungan, termasuk menuju ke Malaysia.
Lebih 1.2 juta Rohingya kini menetap di kem pelarian yang sesak di Bangladesh selepas melarikan diri daripada keganasan tentera Myanmar sejak 2017, manakala mereka yang masih berada di Myanmar berdepan sekatan pergerakan serta hidup di kem penempatan.
Menurut UNHCR, lebih 6,500 Rohingya cuba meninggalkan Myanmar dan Bangladesh melalui laluan laut sepanjang 2025, dengan hampir 900 dilaporkan maut atau hilang, menjadikannya laluan laut paling berbahaya bagi pelarian di dunia.
IOM dan UNHCR menggesa komuniti antarabangsa memperkukuh operasi mencari dan menyelamat, memperluaskan akses perlindungan kepada pelarian serta membanteras rangkaian penyeludupan dan pemerdagangan manusia bagi mengelakkan lebih banyak kehilangan nyawa.-Agensi