Air bersih sebagai jambatan kasih rakyat Malaysia kepada komuniti Islam Thailand

Iklan
Projek Water 4 Life dilaksanakan di tiga wilayah Selatan Thailand iaitu Pattani, Narathiwat dan Yala, selain satu projek di Timur Thailand iaitu Nong Khai.

KUALA LUMPUR - Bagi sesetengah masyarakat, air mungkin hanya satu kemudahan asas harian. Namun bagi komuniti yang pernah berdepan kekangan bekalan air bersih, setiap titis membawa makna besar kepada kehidupan.

Atas kesedaran itu, Pertubuhan Ihsanku Malaysia terus memperkukuh komitmen kemanusiaannya melalui pelaksanaan enam projek air bersih di bawah inisiatif Water 4 Life di Thailand sejak 2023 hingga pertengahan 2026.

Iklan
Iklan

Projek berkenaan dilaksanakan di tiga wilayah Selatan Thailand iaitu Pattani, Narathiwat dan Yala, selain satu projek di Timur Thailand iaitu Nong Khai.

Sepanjang tempoh itu, ribuan pelajar, keluarga Muslim, komuniti mualaf, anak tahfiz dan kanak-kanak tadika serta masyarakat kampung sekitar menerima manfaat langsung daripada projek air bersih berkenaan.

Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif Ihsanku, Syariffuddin Supeni, berkata pelaksanaan Water 4 Life bukan sekadar membawa bekalan air bersih, sebaliknya menjadi jambatan kasih rakyat Malaysia kepada komuniti Islam di Thailand.

“Air bersih bukan sekadar untuk minum. Ia berkait rapat dengan kesihatan, kebersihan, pendidikan, ibadah dan kelangsungan hidup masyarakat.

Iklan

“Apabila sesebuah maahad, masjid atau kampung mempunyai akses air yang lebih baik, kehidupan masyarakat menjadi lebih tersusun. Anak-anak boleh belajar dengan selesa, keluarga dapat menjalani rutin harian dengan lebih mudah dan institusi agama dapat berfungsi dengan lebih sempurna,” katanya.

Pelaksanaan Water 4 Life bukan sekadar membawa bekalan air bersih, sebaliknya menjadi jambatan kasih rakyat Malaysia kepada komuniti Islam di Thailand.

Projek pertama Water 4 Life dilaksanakan di Maahad Nahdhah Syabab Islamiah, Cho-Airong, Narathiwat, yang memberi manfaat kepada hampir 2,000 pelajar.

Projek kedua pula dilaksanakan di Masjid Darul Salam, Kampung Labu, Jaha, Yala, memberi manfaat kepada 80 keluarga Muslim di kawasan berkenaan.

Ihsanku kemudian meneruskan projek ketiga di Maahad Nuril Hayat, Raman, Yala, yang memberi manfaat kepada 1,500 pelajar serta masyarakat kampung sekitar.

Tidak terhenti di Selatan Thailand, Ihsanku turut meluaskan manfaat ke Timur Thailand menerusi projek keempat di Masjid Ar-Raudhah, Kampung Kok Bun Senong, Nong Khai, yang memberi manfaat kepada 30 keluarga mualaf dan penduduk sekitar.

Projek kelima pula dilaksanakan di Maahad Darus Saadah, Tungyangdeng, Pattani, memberi manfaat kepada 40 pelajar dan masyarakat kampung sekitar.

Manakala projek keenam dilaksanakan di Pusat Pengajian Ibadurrahman, Bra-Uh, Pattani, yang memberi manfaat kepada 40 pelajar tahfiz, 100 anak pengajian tadika serta masyarakat kampung sekitar.

Menurut Syariffuddin, setiap projek yang dilaksanakan bukan bersifat sekali beri, sebaliknya menjadi asas kepada hubungan jangka panjang antara Ihsanku dan komuniti setempat.

“Di lokasi yang sama, Ihsanku turut melaksanakan beberapa inisiatif lain seperti program Ramadan, ibadah korban, agihan fidyah, bantuan bencana alam serta sokongan kepada anak yatim melalui program Ihsan Anak.

“Ini bermakna, Water 4 Life bukan projek yang berdiri sendiri. Ia sebahagian daripada usaha lebih besar untuk membina kekuatan komuniti, khususnya di kawasan yang memerlukan sokongan berterusan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Agama dan Kebudayaan Himpunan Masyarakat Sipil Untuk Kedamaian (CAP), Hassan Mohamad Thola, berkata projek air bersih itu memberi kesan besar kepada komuniti yang pernah berdepan kesukaran mendapatkan bekalan air.

“Bagi sebahagian masyarakat, air mungkin hanya kemudahan biasa. Namun bagi komuniti yang pernah berdepan kekangan bekalan air, setiap titis membawa makna besar — untuk minum, memasak, berwuduk, membersihkan diri dan meneruskan kehidupan,” katanya.

Beliau berkata, bantuan seperti itu bukan sahaja menyelesaikan keperluan asas, malah memberi semangat baharu kepada masyarakat setempat untuk membina kehidupan yang lebih baik.

Kejayaan enam projek itu turut mencerminkan kepercayaan rakyat Malaysia yang terus menyumbang bagi memastikan manfaat bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Dalam pada itu, Pengasas Yayasan Kebajikan Pusat Islam Nong Khai, Usman Umar, berkata projek Water 4 Life di Nong Khai memberi makna yang cukup besar kepada komuniti mualaf di kawasan berkenaan.

“Bagi komuniti mualaf di Nong Khai, projek air bersih itu bukan sekadar bantuan fizikal, malah menjadi tanda keprihatinan umat Islam serantau terhadap saudara baharu mereka,” katanya.

Menurutnya, kehadiran bantuan daripada rakyat Malaysia memberi kekuatan moral kepada komuniti mualaf yang sedang membina kehidupan beragama dalam suasana yang memerlukan sokongan berterusan.

Syariffuddin berkata, kejayaan enam projek itu turut mencerminkan kepercayaan rakyat Malaysia yang terus menyumbang bagi memastikan manfaat bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

“Setiap sumbangan bukan hanya diterjemahkan kepada paip, tangki atau sistem air, tetapi menjadi senyuman kepada anak-anak, ketenangan kepada guru, kemudahan kepada keluarga dan harapan kepada masyarakat.

“Kami percaya, air bersih adalah permulaan kepada perubahan yang lebih besar,” katanya.

Beliau berkata, Ihsanku akan terus memperkukuh pemantauan projek, kerjasama dengan rakan lapangan dan usaha mengenal pasti lokasi baharu yang memerlukan akses air bersih, khususnya di kawasan pendidikan Islam, masjid, kampung pedalaman dan komuniti rentan.

“Harapan kami, projek ini terus menjadi jambatan kasih rakyat Malaysia kepada saudara serantau.

“Selagi ada komuniti yang memerlukan air bersih, selagi itu Ihsanku akan berusaha membawa manfaat ini kepada mereka,” katanya.