PETALING JAYA - Seorang lagi suspek diberkas bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki di sebuah hotel di Sunway Mentari di sini pada 8 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an itu ditahan pada Isnin lalu dan direman empat hari sehingga Jumaat bagi membantu siasatan.
"Siasatan masih giat dijalankan dan kertas siasatan dijangka dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam minggu ini," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Pada 10 Julai lalu, polis menahan dua lelaki tempatan selepas seorang lelaki berusia lingkungan 30-an ditemukan maut di sebuah hotel itu, sebelum mereka direman tujuh hari.
Mangsa ditemukan selepas polis menerima maklumat pada jam 11.23 malam, manakala pemeriksaan awal mengesan kecederaan pada tubuhnya.
Hasil bedah siasat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah disebabkan hentakan objek tumpul pada bahagian badan.
Siasatan awal turut mendapati kedua-dua suspek berusia 20-an dan 30-an itu mempunyai beberapa rekod jenayah, manakala usaha mengesan suspek lain ketika itu masih dijalankan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.