PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Pas telah menyimpang daripada matlamat dan dasar perjuangan gabungan itu sehingga menimbulkan kesangsian terhadap komitmennya sebagai alternatif kepada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pendirian itu dibuat susulan tindakan Pas mengadakan rundingan kerjasama politik dengan BN tanpa persetujuan Majlis Tertinggi PN dan beberapa keputusan dibuat secara unilateral.
Menurutnya, tindakan berkenaan bukan sahaja bercanggah dengan kepentingan PN, malah tidak pernah dipersetujui oleh Majlis Tertinggi gabungan tersebut.
"Kenyataan-kenyataan pemimpin Pas mutakhir ini turut mengundang kesangsian rakyat khususnya golongan muda, mengenai komitmen PN untuk terus mempertahankan Malaysia sebagai sebuah negara pelbagai kaum dan agama yang stabil, aman dan harmoni," katanya pada sidang media khas pada Rabu.
Dalam pada itu, Muhyiddin memberitahu, Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Kerusi PN bagi PRN Negeri Sembilan yang berlangsung pada Ahad lalu ditangguhkan berikutan Pas mengambil pendirian mengadakan kerjasama politik dengan BN.
Beliau berkata, perkara itu sepatutnya dibincangkan dan dipersetujui terlebih dahulu oleh Majlis Tertinggi PN kerana melibatkan dasar serta hala tuju gabungan berkenaan.
"Malangnya, sehingga kini Majlis Tertinggi PN masih belum dipanggil bermesyuarat dan Mesyuarat Jawatankuasa Rundingan Kerusi PN turut ditangguhkan tanpa tarikh baharu bagi memuktamadkan agihan kerusi antara parti anggota," ujarnya.
Tambah Muhyiddin, kegagalan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memanggil mesyuarat Majlis Tertinggi PN untuk menentukan dasar dan hala tuju parti pada saat genting ketika PN sedang menghadapi PRN Negeri Sembilan adalah amat dikesali dan bercanggah dengan Perlembagaan PN.
"Bersatu merakamkan rasa kesal terhadap tindakan Pas mengadakan rundingan dengan BN tanpa melibatkan semua parti anggota PN dan tanpa persetujuan Majlis Tertinggi PN," ujarnya.
Bagaimanapun, Muhyiddin menegaskan Bersatu akan terus berpegang kepada pendirian sederhana dan progresif dan memperjuangkan dasar yang menyokong kemajuan ekonomi dan kebajikan rakyat.