SEREMBAN - Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan secara rasmi memasuki ‘mod perang’ menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 dengan jentera parti diarahkan bersiap siaga berkempen dengan penuh disiplin dan semangat berpasukan.
Timbalan Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pelancaran jentera pilihan raya menandakan bermulanya gerak kerja menyeluruh bagi memastikan BN kembali mentadbir negeri itu selepas hari pengundian pada 1 Ogos.
“Apabila Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) membunyikan loceng perang, kita dalam mod perang. Nak perang, buat cara nak perang. Jangan nak pergi berkelah,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN bagi PRN Negeri Sembilan ke-16.
Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, seluruh jentera perlu mengetepikan sebarang perbezaan pendapat dan konflik dalaman agar tumpuan dapat diberikan sepenuhnya kepada usaha menawan semula Negeri Sembilan.
Mohamad turut mengkritik pentadbiran kerajaan negeri terdahulu yang menurutnya gagal membawa pembangunan membanggakan kepada rakyat.
Beliau berkata, Negeri Sembilan perlu kembali bangkit agar mampu berdiri seiring dengan negeri-negeri lain yang sedang pesat membangun.
Mohamad turut mengingatkan pilihan raya bukan medan untuk menyerang peribadi lawan, sebaliknya platform menawarkan hala tuju dan rekod pentadbiran cemerlang kepada rakyat.
“Jangan kita cakap pasal peribadi. Jangan cakap pasal apa-apa. Cakap kepada orang kita nak kembalikan semula kegemilangan Negeri Sembilan yang pernah kita lakukan pada suatu ketika dahulu,” jelasnya.
Beliau turut mengimbau kejayaan ketika menerajui Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan yang berjaya membawa pulang Piala Malaysia selepas penantian puluhan tahun.
Katanya, semangat sama perlu diterjemahkan dalam PRN kali ini bagi mengembalikan kegemilangan Negeri Sembilan.
Beliau turut mengingatkan kemenangan hanya mampu dicapai sekiranya semua pihak bekerja bersungguh-sungguh sepanjang tempoh kempen.
“Tujuan utama kita menghadapi peperangan ialah untuk menang. Nak perang, buat cara nak menang.
“Jangan buat lembik-lembik. Jangan sambil lewa kerana peperangan ini antara hidup dan mati. Kita menang, kita tubuh kerajaan. Kalau kita kalah, kita kena lanyak pula,” katanya.
Mohamad juga mengajak seluruh jentera dan penyokong BN menghidupkan slogan kempen ‘Hobin Jang Hobin’ sebagai simbol semangat untuk merampas semula pentadbiran Negeri Sembilan.- Awani