MELAKA - Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menghormati pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta agar ruang rundingan diberikan susulan tindakan DAP Melaka mengumumkan keluar daripada kerajaan negeri.
Bagaimanapun Ab Rauf berkata, keputusan DAP itu sudah dimuktamadkan apabila semua surat peletakan jawatan telah diserahkan kepada kerajaan negeri.
“Kita terima surat peletakan jawatan semalam (Selasa). Lepas habis sidang media, mereka terus hantar surat.
“Jadi, sebab itu hari ini kalau kita lihat perubahan kedudukan kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), ia berlaku kerana kita telah menerima surat rasmi peletakan jawatan dan pengunduran daripada kerajaan yang berkuat kuasa serta-merta,” katanya selepas Persidangan DUN di Seri Negeri di sini pada Rabu.
Ditanya sama ada kerajaan negeri bersedia membuka semula pintu rundingan, beliau berkata perkara itu bergantung kepada keputusan yang akan dibuat oleh Pakatan Harapan (PH).
“Kita tunggu dan lihat. Saya tidak berani nak cakap sama ada esok ya ataupun tidak, apa yang mereka mahu buat.
“Tetapi kesan daripada keputusan DAP yang mengumumkan tidak lagi mahu bekerjasama dengan kerajaan ini, kita dah terima.
“Macam mana pula dia nak berundur? Tetapi terserahlah kepada PH. Kita juga menerima warkah daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menyatakan mungkin tidak bersetuju dengan langkah yang dibuat oleh DAP. Itu terserah kepada mereka,” katanya.
Mengulas mengenai kekosongan jawatan yang ditinggalkan wakil DAP dalam pentadbiran kerajaan negeri, Ab Rauf berkata, ia tidak akan diisi dalam tempoh terdekat akan dipangku jawatan itu buat sementara waktu susulan berbakj beberapa bulan lagi sebelum pembubaran DUN Melaka.
Beliau berkata, kerajaan negeri memilih untuk terus mengamalkan politik matang dan tidak mahu memanjangkan polemik yang berlaku.
“Yang penting, dalam mana-mana suasana politik, semua orang tahu sama ada parti dia kuat atau tidak. Baju yang dipakai, dia tahu, ukur baju di badan sendiri.
“Kita berada dalam keadaan untuk menilai kekuatan dan kebolehupayaan masing-masing untuk meneruskan pentadbiran ini,” katanya.
Ujarnya, kedudukan kerajaan negeri kekal stabil meskipun tanpa penyertaan DAP.
“Jadi, senang sahaja, ada atau tiada, dia keluar tak genap, dia masuk tak genap, keluar pun tak ganjil,” katanya.
Dalam pada itu, Ab Rauf menegaskan kerajaan negeri tidak bercadang untuk menuding jari atau mempertikaikan hak mana-mana parti dalam membuat keputusan berdasarkan prinsip dan pertimbangan masing-masing.
“Kita mungkin tidak lagi bersama dalam pentadbiran kerajaan negeri, tetapi tidak perlu menjadi musuh sama ada secara peribadi mahupun dalam usaha membela kepentingan rakyat Melaka.
“Sepanjang tempoh kerjasama tersebut, saya sudah tentu dapat melihat sumbangan, pandangan dan usaha yang telah diberikan dalam menjayakan pelbagai dasar serta program kerajaan negeri.
“Justeru, saya ingin mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada wakil-wakil DAP serta rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan yang selama ini telah memberikan kerjasama dalam mentadbir dan membangunkan negeri Melaka,” katanya.