Urus dana tanpa lesen, gubah wang haram: Bekas pengarah syarikat dipenjara lima tahun

Iklan
Bekas pengarah sebuah syarikat swasta dihukum penjara lima tahun atas 12 pertuduhan membabitkan aktiviti pengurusan dana tanpa lesen dan pengubahan wang haram. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap bekas pengarah sebuah syarikat swasta yang didapati bersalah atas 12 pertuduhan membabitkan aktiviti pengurusan dana tanpa lesen dan pengubahan wang haram.

Kenyataan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memaklumkan bahawa Hakim Hamidah Mohamed Deril menjatuhkan hukuman itu ke atas bekas Pengarah Kyaputen Sdn Bhd, Muhamad Fadzli Jamaludin selepas memutuskan tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Iklan
Iklan

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan yang dihadapi Muhamad Fadzli dan memerintahkan beliau menjalani hukuman itu secara serentak.

Muhamad Fadzli pada mulanya didakwa oleh SC pada 9 November 2023 atas tiga pertuduhan menguruskan dana tanpa lesen mengikut Seksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

Iklan

Pada 29 November 2023, beliau sekali lagi didakwa atas sembilan pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA), dengan kedua-dua kes dibicarakan secara bersama.

Sepanjang perbicaraan kes itu, pendakwaan memanggil 23 saksi termasuk enam mangsa yang mengalami kerugian berjumlah RM1.263 juta secara keseluruhannya.

Iklan

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan antara Ogos 2018 dan April 2020 di Kuala Lumpur serta Melaka.

Selepas diperintah membela diri, Muhamad Fadzli memilih memberi keterangan secara bersumpah dan tidak memanggil saksi lain untuk menyokong kesnya.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 58(1) CMSA, tertuduh berdepan hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM10 juta atau kedua-duanya sekali.

Bagi pengubahan wang haram, Muhamad Fadzli berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana lebih tinggi.

SC diwakili Timbalan Pendakwa Raya K.Mageswary dan pegawai pendakwa Low Wen Zhen, Jonathan Chin Ter Yang serta Mark Rohan Mahadevan manakala peguam B.Puvarasan mewakili Muhamad Fadzli.- Bernama