RANAU - Seorang remaja perempuan parah selepas terkena tembakan ketika mencari katak di tepi Sungai Keliu, Kampung Tinanom di sini pada Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa berusia 15 tahun mengalami pelbagai kecederaan pada anggota badan akibat tembakan senjata api yang disyaki dilepaskan oleh datuk saudaranya ketika berburu di kawasan hutan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintenden Mursalin Mahmud berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 3.49 pagi Ahad.
"Siasatan awal mendapati mangsa bersama bapa saudaranya dan seorang lagi lelaki pergi ke kawasan sungai berkenaan kira-kira jam 8 malam.
"Kira-kira jam 9 malam, bapa saudara mangsa terdengar bunyi tembakan disusuli jeritan meminta tolong sebelum bergegas ke lokasi dan mendapati anak saudaranya dalam keadaan berlumuran darah serta mengalami kecederaan pada beberapa bahagian badan," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Menurutnya, bapa saudara mangsa kemudian mendukung remaja terbabit untuk dibawa pulang ke kampung sebelum mendapatkan bantuan menghantarnya ke klinik kesihatan.
"Mangsa tiba di klinik pada jam 1.52 pagi Ahad dalam keadaan sedar, namun mengalami kesukaran bernafas serta beberapa luka pada anggota badan.
"Rawatan kecemasan awal diberikan sebelum mangsa dihantar menggunakan ambulans ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut dan ditempatkan di Zon Merah," katanya.
Mursalin berkata, pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kira-kira 13 kesan kecederaan berbentuk luka tusukan yang disyaki berpunca daripada tembakan senjata api.
"Kecederaan dikesan pada bahagian leher, dada kanan, bahu kanan, kedua-dua anggota atas serta lutut kanan, dengan anggota atas kanan mengalami kecederaan paling banyak.
"Selain itu, pemeriksaan turut mendapati pergelangan tangan kiri mangsa patah," katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati mangsa dan individu yang bersamanya hanya membawa panah ikan serta parang, manakala tiada maklumat menunjukkan mereka membawa senjata api ke lokasi kejadian.
"Bertindak atas maklumat yang diperoleh, polis berjaya menahan seorang lelaki yang mempunyai hubungan persaudaraan dengan mangsa kerana disyaki terbabit dalam kejadian itu.
"Hasil siasatan awal, suspek mengaku keluar dari rumah untuk berburu seorang diri dengan membawa selaras senjata api buatan sendiri jenis bakakuk yang berisi peluru," katanya.
Mengulas lanjut, Mursalin berkata, suspek dipercayai melepaskan tembakan selepas tersalah anggap cahaya yang dilihatnya di kawasan sungai sebagai mata haiwan buruan.
"Menurut keterangan suspek, ketika menyusuri tepi sungai, dia ternampak cahaya yang menyerupai mata binatang dan menyangka ia seekor pelanduk lalu melepaskan satu das tembakan.
"Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, suspek terdengar jeritan kesakitan sebelum menghampiri lokasi dan mendapati individu yang terkena tembakan sebenarnya adalah mangsa," katanya.
Tambahnya, suspek kemudian turut membantu membawa mangsa keluar dari kawasan kejadian sebelum bertindak membuang senjata api yang digunakannya.
"Suspek bersama bapa saudara mangsa bergilir-gilir mengangkat remaja berkenaan sebelum mereka beredar dari lokasi kejadian.
"Suspek turut mengaku membuang senjata api jenis bakakuk yang digunakannya di dalam hutan," katanya.
Sehubungan itu, kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 8(a) akta sama.