KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menggalakkan lebih ramai pelajar institusi pondok di negeri ini menyertai program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi melengkapkan ilmu agama yang dimiliki dengan kemahiran teknikal selaras keperluan industri semasa.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, perkembangan teknologi dan perubahan landskap pekerjaan menuntut lepasan pondok menguasai kemahiran baharu supaya mampu bersaing serta mencipta peluang pekerjaan sendiri.
Menurut beliau yang juga Pengerusi TVET Kelantan memberitahu, pelajar pondok yang telah mempunyai asas ilmu agama amat sesuai mengikuti program berbentuk demikian sebagai nilai tambah kepada masa depan mereka.
"Dulu, kebanyakan lepasan pondok bekerja sendiri mengikut keperluan ketika itu. Sekarang bentuk pekerjaan telah berubah dengan perkembangan teknologi, maka mereka juga perlu menguasai kemahiran baharu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Akademi Cemerlang TeknoVocasX (ACTVX) di sini pada Rabu.
Hadir sama Pengarah Projek ACTVX, Dr Zaharuddin Sani Ahmad Sabri.
Menurut beliau, pelajar pondok boleh mengikuti laluan TVET menerusi Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), malah syarat kemasukan tidak menetapkan kelayakan akademik tertentu selain umur minimum 16 tahun.
"Sebab itu, saya sangat menggalakkan pelajar-pelajar pondok menyertai TVET kerana mereka sudah mempunyai ilmu agama dan kini boleh melengkapkannya dengan kemahiran teknikal," katanya.
Mohamed Fadzli memberitahu, penubuhan Akademi Cemerlang TeknoVocas merupakan satu lagi penambahan institusi TVET di Kelantan yang akan memperluaskan akses pendidikan kemahiran kepada rakyat negeri ini.
Katanya, sebelum ini pendidikan TVET turut ditawarkan di beberapa institusi termasuk Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan KIAS, manakala akademi baharu itu diwujudkan menerusi kerjasama dengan sebuah akademi serta HELP University.
"Ini memberi peluang yang lebih besar kepada rakyat Kelantan untuk mengikuti TVET. Hari ini, bidang akademik semata-mata tidak lagi menjanjikan masa depan yang lebih luas kerana ruang pekerjaan semakin mengecil.
"Kita perlu membuka ruang dan mencipta peluang pekerjaan, bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga kepada masyarakat. Sebab itu saya mahu seramai mungkin rakyat Kelantan memanfaatkan peluang dalam bidang TVET," katanya.
Ujar beliau, bagi permulaan akademi itu menawarkan program dalam bidang automotif dan elektrikal, sekali gus memperkukuhkan pembangunan tenaga mahir di negeri ini.