KPWKM perkasa lelaki melalui MEN

Iklan
Kasih sayang dan didikan bapa menjadi tunjang pembentukan keluarga yang kukuh dan generasi berdaya saing.

Kasih sayang dan didikan bapa menjadi tunjang pembentukan keluarga yang kukuh dan generasi berdaya saing.

Peranan lelaki dalam institusi keluarga kini berdepan cabaran yang semakin kompleks apabila tekanan ekonomi, perubahan sosial dan isu kesihatan mental memberi kesan langsung terhadap kesejahteraan keluarga.

Iklan
Iklan

Hakikat itu menuntut pendekatan lebih menyeluruh bagi memastikan golongan lelaki terus mampu memainkan tanggungjawab sebagai suami, bapa dan pemimpin keluarga.

Menyedari keperluan tersebut, kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengambil langkah memperkenalkan Jaringan Pemerkasaan Lelaki (MEN), sebuah platform strategik nasional yang memberi tumpuan kepada pembangunan sahsiah, kesejahteraan emosi serta pengukuhan peranan lelaki dalam masyarakat.

Iklan

Inisiatif itu hadir ketika pelbagai petunjuk sosial menunjukkan golongan lelaki lebih cenderung terdedah kepada pelbagai risiko, termasuk penyalahgunaan dadah, jenayah dan masalah kesihatan mental.

Keadaan itu sekali gus memberi gambaran bahawa usaha memperkasa lelaki bukan lagi sekadar agenda kebajikan, sebaliknya menjadi keperluan nasional bagi membina keluarga yang lebih stabil dan masyarakat yang sejahtera.

Iklan

Melalui pendekatan kolaboratif melibatkan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dan profesional, platform MEN bukan sahaja bertujuan memperkukuh dasar berkaitan pembangunan lelaki, malah menyediakan ruang kepada pelaksanaan program intervensi seperti latihan keibubapaan, pengurusan konflik, literasi kewangan serta sokongan kesihatan mental.

Selaras dengan aspirasi Dasar KASIH Keluarga Negara, kerajaan berharap agenda pemerkasaan lelaki mampu melahirkan lebih ramai lelaki budiman yang memimpin dengan hikmah, berkongsi tanggungjawab dalam keluarga serta menjadi contoh terbaik kepada generasi akan datang, sekali gus memperkukuh institusi keluarga sebagai asas pembangunan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penubuhan MEN mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh institusi keluarga menerusi pendekatan pembangunan lelaki yang lebih holistik.

“Melalui pendekatan whole-of-nation, kementerian komited melahirkan ketua keluarga yang bertanggungjawab, mempunyai emosi yang sihat serta mampu memimpin keluarga dengan bijaksana dan prihatin.

“Inisiatif MEN turut menyediakan latihan berkaitan pengurusan konflik dan kesihatan mental yang mesra komuniti lelaki, di samping menepis stigma bahawa mendapatkan bantuan ketika berdepan tekanan hidup adalah sesuatu yang memalukan," katanya dalam majlis Sambutan Hari Bapa Peringkat Kebangsaan 2026 bertemakan Sehebat Kasih Bapa di Cyberjaya, pada penghujung Jun lalu.

Agenda pemerkasaan lelaki

Agenda pemerkasaan lelaki perlu diberi perhatian serius memandangkan pelbagai cabaran sosial yang sedang dihadapi negara.

Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi 2023 menunjukkan 95.7 peratus individu yang ditahan kerana penyalahgunaan dadah ialah lelaki, manakala lebih 96 peratus daripada individu yang diparol juga terdiri daripada golongan sama.

Kasih seorang bapa bukan sekadar melindungi, tetapi juga hadir mencipta kenangan indah bersama anak-anak.

Menyedari perkara ini, kerajaan berpandangan bahawa usaha memperkukuh peranan lelaki, khususnya bapa, sebagai pembimbing, pelindung dan teladan kepada anak-anak perlu diperkasakan.

Hal ini kerana bapa merupakan menjadi benteng pertama dalam mencegah penglibatan anak-anak dalam gejala sosial, penyalahgunaan dadah dan keruntuhan nilai..

Dalam era yang mencabar akibat peningkatan kos sara hidup, pengaruh media sosial dan perubahan sosial yang pesat, peranan bapa tidak lagi terhad sebagai penyedia keperluan keluarga, sebaliknya turut berfungsi sebagai pembimbing nilai, pelindung, pendidik dan teladan kepada anak-anak.

Keluarga yang stabil, saling menyokong dan dipenuhi kasih sayang akan melahirkan masyarakat yang lebih sejahtera, selamat dan progresif.

Usaha itu juga selaras dengan aspirasi Dasar KASIH Keluarga Negara dan Agenda Nasional KASIH Keluarga Negara yang meletakkan institusi keluarga sebagai asas kepada pembinaan masyarakat dan negara.

Kukuhkan penyelelidikan dan pembangunan dasar

Dalam perkembangan sama, Menteri KPWKM, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, MEN akan menjadi platform kolaborasi yang menghimpunkan agensi kerajaan, NGO, ahli akademik dan profesional bagi memperkukuh penyelidikan, pembangunan dasar serta pelaksanaan program intervensi berkaitan pemerkasaan lelaki.

Beliau berkata, rangkaian itu turut menyokong pelaksanaan Kajian Lelaki Budiman Negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang akan bermula Julai ini selama 18 bulan.

Menurutnya lagi, kajian berkenaan akan membangunkan model, kerangka dan mekanisme pelaksanaan Agenda Lelaki Budiman Negara sebagai rujukan nasional.

"Melalui inisiatif ini, kita mahu melahirkan lebih ramai lelaki yang menghormati wanita, berkongsi tanggungjawab dalam keluarga, mengutamakan kesejahteraan mental serta menjadi suami, bapa dan pemimpin yang berintegriti," katanya ketika berucap pada Forum Konsultatif Pemerkasaan lelaki di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Nancy berkata, pemerkasaan lelaki tidak boleh hanya tertumpu kepada aspek ekonomi atau kepimpinan, sebaliknya perlu merangkumi pembangunan sahsiah, kestabilan emosi, kesejahteraan mental, literasi keibubapaan, pengurusan kewangan dan jaringan sokongan sosial.

"Nilai KASIH iaitu Kasih Sayang, Akhlak, Sihat dan Selamat, Ilmu serta Harmoni perlu menjadi asas pembentukan Lelaki Budiman dalam masyarakat Madani.

“Lelaki budiman bukanlah lelaki yang mendominasi, sebaliknya lelaki yang memimpin dengan hikmah, berkongsi tanggungjawab dan menghormati wanita sebgaai rakan kongsi dalam membina keluarga," katanya.

Sehingga kini, lebih 20 NGO yang mempunyai kepakaran dalam program kebapaan dan pembangunan remaja lelaki telah menyertai MEN sebagai rakan strategik KPWKM dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Platform itu akan menyelaras pelbagai program pembangunan lelaki, termasuk latihan keibubapaan, pengurusan konflik, kesejahteraan mental dan sokongan komuniti.

Pelancaran MEN memberi isyarat bahawa pemerkasaan lelaki kini menjadi sebahagian daripada agenda pembangunan negara.

Jika dilaksanakan secara berterusan dengan sokongan semua pihak, inisiatif itu berpotensi melahirkan lebih ramai lelaki budiman yang menjadi tonggak kepada keluarga yang kukuh dan masyarakat yang progresif.

Akhirnya, kejayaan sesebuah negara tidak hanya diukur melalui pencapaian ekonomi atau pembangunan fizikal, tetapi turut bergantung kepada kekuatan institusi keluarga.

Pemerkasaan lelaki menerusi platform MEN diharap menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih ramai suami, bapa dan pemimpin yang bukan sahaja berwibawa, malah berintegriti, berempati dan mampu menjadi teladan kepada generasi akan datang.