Inkues Zara Qairina: 'Keaiban serius kepada pentadbiran keadilan' jika Dr Noor Aishah terus beri keterangan pakar - Koroner

Iklan
Mahkamah Koroner memutuskan untuk tidak membenarkan Dr Noor Aishah (gambar kanan) meneruskan keterangannya sebagai saksi dalam inkues kematian Zara Qairina.

KOTA KINABALU - Mahkamah Koroner memutuskan untuk tidak membenarkan saksi ke-76, Dr Noor Aishah Rosli, meneruskan keterangannya sebagai saksi dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir.

Keputusan itu dibuat Koroner Amir Shah Amir Hassan selepas mendengar hujahan kira-kira sejam daripada semua pihak serta meneliti keseluruhan keterangan yang telah dikemukakan dalam inkues berkenaan.

Iklan
Iklan

Pertikaian berhubung status Dr Noor Aishah sebagai saksi Pakar Psikologi Klininal Kanak-Kanak timbul selepas beliau mengaku tidak berdaftar di bawah Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016 (Akta 774), walaupun mempunyai kelayakan akademik dan pengalaman luas dalam bidang psikologi serta kaunseling.

Dalam keputusannya, Koroner berkata bantahan Pegawai Pengendali diterima sebahagiannya, namun keputusan itu tidak bermaksud mahkamah menafikan atau mempertikaikan pengetahuan akademik dan pengalaman Dr Noor Aishah.

Iklan

"Sehubungan itu, saya memutuskan, pertama, bantahan yang dikemukakan oleh Pegawai Pengendali diterima sebahagiannya.

Amir Shah berkata, dalam menyelesaikan isu berkenaan, mahkamah perlu melihat kepada dua peruntukan undang-undang yang berkaitan, iaitu Seksyen 45 Akta Keterangan 1950 dan Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016.

Iklan

Menurutnya, Seksyen 45 Akta Keterangan 1950 merupakan peruntukan umum yang membolehkan pendapat pakar dipertimbangkan berdasarkan kemahiran khusus seseorang, manakala Akta 774 adalah undang-undang khusus yang diwujudkan untuk mengawal standard dan amalan profesion tertentu.

"Dalam menyelesaikan percanggahan ini, mahkamah perlu melihat dua undang-undang yang berkaitan. Pertama, Seksyen 45 Akta Keterangan 1950 ialah peruntukan umum yang membolehkan pendapat pakar dipertimbangkan jika seseorang saksi mempunyai kemahiran khusus.

"Kedua, Akta 774 ialah undang-undang khusus yang diwujudkan oleh Parlimen untuk mengawal standard profesion dan melarang seseorang menjalankan profesion tertentu tanpa kebenaran.

"Mengikut prinsip undang-undang yang telah ditetapkan, undang-undang khusus mengatasi undang-undang umum," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan pertimbangan itu, Dr Noor Aishah tidak boleh dibenarkan untuk terus berfungsi sebagai saksi pakar dalam prosiding berkenaan.

Bagaimanapun, Koroner berkata terdapat persoalan berasingan berhubung keterangan yang telah diberikan Dr Noor Aishah sebelum keputusan itu dibuat, termasuk keterangan lisan dan laporan Eksibit I-299 yang dikemukakan sepanjang prosiding.

"Ini adalah satu inkues, satu proses yang unik dan bertujuan mencari fakta serta kebenaran berhubung sesuatu kematian.

"Dalam kes ini, ia berkaitan dengan kematian Zara Qairina binti Mahathir," katanya.

Menurutnya, tiada peruntukan jelas di bawah Akta 774 yang menghalang Mahkamah daripada menerima keterangan yang telah diberikan Dr Noor Aishah sebelum ini.

"Walaupun Akta 774 menghalang beliau daripada menjalankan amalan atau memberikan keterangan pakar pada masa akan datang, keterangan yang telah diberikan sebelum ini tidak boleh begitu sahaja dipadamkan daripada rekod," katanya.

Sehubungan itu, Koroner memutuskan semua keterangan lisan dan dokumen yang telah dikemukakan Dr Noor Aishah, termasuk Eksibit I-299, kekal dalam rekod inkues.

"Ketiga, keteterangan lisan dan dokumen yang telah dikemukakan oleh deponen 76, termasuk Eksibit I-299, akan dikekalkan dalam rekod.

"Keempat, keputusan mengenai status sebenar Eksibit I-299 masih ditangguhkan. Mahkamah masih belum memutuskan sama ada laporan itu akan diterima sebagai pendapat pakar, hanya diterima sebagai keterangan fakta atau ditolak sepenuhnya.

"Mahkamah juga belum memutuskan berapa banyak berat yang akan diberikan kepada keterangan beliau.

"Semua perkara itu akan dianalisis pada peringkat akhir selepas Mahkamah melihat keseluruhan keterangan dan menerima hujahan lanjut daripada semua pihak," katanya.

Inkues ditangguhkan dan akan bersambung pada jam 9 pagi Khamis dengan mendengar keterangan saksi ke-75 sebelum ini.