Ubah persepsi premis di Kelantan tidak perlukan sijil halal

Iklan
Mohd Asri (dua dari kiri) bersama Mohd Nassuruddin (tiga dari kiri) dan Mohd Nazif (kanan) pada Majlis Penyerahan Pengesahan Sijil Halal 17 Cawangan Nasken Coffee di Kota Bharu pada Rabu.

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menggesa pengusaha premis makanan dan minuman mengubah persepsi bahawa premis di negeri ini tidak memerlukan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) hanya kerana majoriti peniaga serta pekerja beragama Islam.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata, tanggapan sedemikian tidak lagi relevan kerana pensijilan halal mampu meningkatkan keyakinan pengguna selain memberi nilai tambah kepada sesebuah perniagaan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, dengan memiliki SPHM, sesebuah premis akan lebih diyakini pelanggan dan berpotensi mendapat sokongan pengguna yang lebih meluas.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Pengesahan Sijil Halal 17 Cawangan Nasken Coffee yang disempurnakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud di sini pada Rabu.

Iklan

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nasken Coffee, Mohd Nazif Ab Aziz.

Mohd Asri memberitahu, pemerkasaan pensijilan halal kini menjadi antara agenda utama kerajaan negeri selepas penubuhan Majlis Pembangunan Halal Negeri Kelantan.

Iklan

Katanya, antara fokus utama tahun 2026 ialah meningkatkan jumlah pemegang SPHM, selain menyasarkan setiap permohonan yang lengkap dapat diproses dalam tempoh 30 hari.

"Kalau semua syarat dipenuhi, kita sasarkan permohonan diselesaikan dalam tempoh 30 hari. Kelewatan biasanya berpunca daripada premis yang masih perlu membuat penambahbaikan sebelum layak menerima sijil halal," katanya.

Ujar beliau, Bahagian Halal Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) mempunyai garis panduan yang jelas dan setiap permohonan akan melalui pemeriksaan menyeluruh terhadap premis, produk, pekerja serta pematuhan syarat pensijilan halal.

Mengulas pendedahan sebuah laman media sosial mengenai premis yang didakwa tidak memiliki sijil halal, Mohd Asri berkata, kerajaan negeri akan mendapatkan maklumat daripada Jaheaik sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

Pada masa sama, beliau mengingatkan semua pengusaha supaya menjadikan pematuhan syariah sebagai keutamaan dengan menjaga aspek halal, kebersihan, kesucian dan etika penyediaan makanan, bukan sekadar mengejar keuntungan.