MELAKA – Jumlah lokasi hotspot banjir di negeri ini menurun daripada 124 kepada 102 kawasan hasil pelbagai usaha mitigasi yang dilaksanakan kerajaan negeri. Namun, pembangunan yang tidak terkawal berisiko menyebabkan peningkatan semula kawasan terjejas.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin berkata, terdapat projek pembangunan berskala besar yang dibina di kawasan lebih tinggi berbanding penempatan penduduk sehingga menyebabkan aliran air tertumpu ke kawasan rendah dan menjejaskan kediaman.
“Sebagai contoh, ada projek yang dibangunkan di kawasan lebih tinggi, manakala rumah penduduk berada di bawah. Aliran air daripada projek itu akan menyebabkan rumah-rumah di kawasan rendah rosak.
“Kita tidak menghalang pembangunan. Namun, apabila pemaju membeli tanah dalam skala besar, termasuk estet bernilai ratusan juta ringgit, kerajaan negeri perlu memastikan pembangunan yang dijalankan mematuhi syarat yang ditetapkan,” katanya.
Rais berkata, antara syarat yang dikenakan termasuk penyediaan kolam takungan sementara atau On-Site Detention (OSD), kolam banjir dan sistem saliran yang mempunyai kapasiti mencukupi.
Katanya, walaupun kemudahan itu disediakan, masalah banjir masih boleh berlaku sekiranya aliran keluar air tidak mencukupi atau sungai sedia ada melebihi kapasiti.
“Jika tiada laluan air keluar, air akan bertakung. Tambahan pula, jika sungai melebihi kapasiti dan melimpah, ia akan menyebabkan banjir,” ujarnya.
Beliau berkata, aspek perancangan bandar kini menjadi semakin penting berikutan perubahan iklim yang menyebabkan cuaca ekstrem semakin kerap berlaku.
Dalam pada itu, mengulas beberapa lokasi yang dilanda banjir teruk Sabtu lalu, beliau menjelaskan bahawa data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan kebanyakan daripada 21 stesen pemantauan di Melaka merekodkan taburan hujan luar biasa melebihi 100 milimeter pada waktu itu.
Susulan kejadian itu, beliau berkata, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh telah meluluskan peruntukan tambahan RM5 juta bagi melaksanakan projek segera membabitkan hotspot banjir di seluruh negeri.
“Peruntukan ini melibatkan kerja penyelenggaraan segera seperti pembersihan longkang dan saliran tersumbat di kawasan yang dikenal pasti.
“Kita akan menyelaraskan pelaksanaan projek ini di seluruh Melaka, namun keutamaan diberikan kepada kawasan yang benar-benar berdepan masalah banjir,” katanya.