Dakwaan cubaan culik pelajar di Semenyih, rupa-rupanya laporan palsu

Iklan
Polis menerima tujuh laporan berhubung kejadian kehilangan barang kemas di sebuah kuil. - Gambar kecil (Naazron)

KAJANG – Takut dimarahi keluarga selepas terlepas pengangkutan pulang dari sekolah, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun membuat laporan palsu mendakwa dirinya hampir diculik di Taman Pelangi, Semenyih pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut daripada remaja itu pada jam 4.36 petang.

Iklan
Iklan

"Hasil siasatan yang dijalankan termasuk penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kejadian sebenar adalah berbeza daripada dakwaan yang dibuat pengadu.

"Siasatan mendapati laporan berkenaan dibuat kerana pengadu takut dimarahi ahli keluarganya gara-gara terlepas pengangkutan untuk pulang ke rumah sebaik tamat sesi persekolahan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, susulan penemuan itu, polis turut menerima satu laporan terhadap pengadu kerana dipercayai memberikan maklumat palsu kepada pihak berkuasa.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu kepada penjawat awam.

Iklan

"Kita memandang serius tindakan membuat laporan palsu kerana ia boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya memberikan maklumat yang benar, tepat dan lengkap ketika membuat laporan polis bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil oleh pihak berkuasa.

"Sebarang laporan palsu atau yang mengandungi fakta mengelirukan boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.