Taman Medan jadi pilihan pertama Hospital PJ - Amirudin

Iklan
Amirudin

SHAH ALAM – Hospital baharu Petaling Jaya dijangka dibangunkan di kawasan Taman Medan berikutan lokasi itu dikenal pasti sebagai pilihan utama kerana mempunyai kepadatan penduduk tinggi dan akses lebih mudah kepada masyarakat sekitar.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri kini dalam proses menggerakkan urusan pengambilan tanah bagi merealisasikan pembangunan hospital di kawasan itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, terdapat dua tapak dikenal pasti untuk projek itu, namun kawasan Taman Medan menjadi pilihan pertama berikutan kedudukannya yang lebih strategik.

"Kosnya juga masih dalam rundingan dengan pihak terbabit, selain ia berada di sekitar Taman Medan kerana ia dalam kawasan penduduk padat memandangkan akses kepada perkhidmatan kesihatan sedia ada agak jauh seperti Hospital Shah Alam dan PPUM (Pusat Perubatan Universiti Malaya)," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Program Ambulans Kita Selangor Fasa 2 dan Pengenalan Ikon Kesihatan Awam Negeri Selangor di Foyer Utama SUK, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Rabu.

Amirudin memberitahu, pembangunan hospital itu bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk Petaling Jaya, malah turut meliputi kawasan berhampiran seperti Puchong, Jalan Klang Lama dan Subang.

Iklan

Katanya, satu lagi pilihan lokasi ialah di kawasan SS8, Kelana Jaya membabitkan tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sekiranya terdapat kekangan terhadap tapak di Taman Medan.

"Kedua-dua tapak berkenaan mempunyai keluasan lebih kurang sama iaitu antara 10 hingga 15 ekar (7.5 hektar).

Bagaimanapun, katanya, berdasarkan maklum balas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kawasan Taman Medan antara yang paling sesuai dan menjadi pilihan pertama.

Beliau berkata, aspek reka bentuk, kapasiti serta pembangunan hospital akan ditentukan KKM berdasarkan peruntukan dan keperluan yang ditetapkan.

Sementara itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri akan mempercepatkan proses berkaitan bagi memastikan projek itu dapat dilaksanakan secepat mungkin demi meningkatkan akses kesihatan rakyat.

Dalam pada itu, Amirudin menjelaskan, kerajaan negeri bersedia memperkukuh usaha menangani isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar susulan insiden tikaman membabitkan pelajar sebuah sekolah menengah di Banting pada

Beliau, kerajaan negeri akan meneliti laporan yang bakal dibentangkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sebelum mengambil langkah susulan.

Jelasnya, isu kesihatan mental perlu diberi perhatian kerana ia antara faktor yang boleh menyumbang kepada masalah seperti buli dan tindakan jenayah yang tidak diingini.

"KPM (Kementerian Pendidikan) ataupun JPN akan membentangkan laporan dalam mesyuarat akan datang untuk kita mengambil langkah-langkah susulan.

"Kerajaan negeri sedia membantu melalui jaringan yang kita ada sebelum ini khusus untuk meningkatkan kesedaran penduduk termasuk golongan muda mengenai simptom dan kesan kesihatan mental," jelasnya.

Amirudin berkata, pendekatan berkaitan kesihatan mental perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk sekolah, ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Katanya, cadangan memperluaskan program saringan kesihatan mental seperti yang diperkenalkan di Damansara juga akan dikaji terlebih dahulu kerana ia membabitkan kos yang tinggi.

"Kerajaan negeri boleh memulakan inisiatif pada peringkat awal, namun aspek penyelenggaraan dan kesinambungan program itu memerlukan sokongan daripada ibu bapa, PIBG serta pihak sekolah," tambah beliau.

 

 

 

 

 

CAPTION

 

 

 

 

 

Amirudin