'Hadiahkan selawat buat Muhammad Haziq' - Rayu ibu pemuda bertarung nyawa di ICU

Iklan
Muhammad Haziq kini berada dalam keadaan kritikal di ICU Hospital Kemaman.

​KEMAMAN –"Saya mohon dengan rendah hati, buat sesiapa sahaja yang membaca berita ini, hadiahkanlah selawat buat anak saya yang sedang bertarung nyawa.

​Demikian luahan Arinab Mohd Zin, 46, ibu kepada Muhammad Haziq Osman, 21, yang kini berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kemaman selepas terlibat dalam kemalangan pada 1 Julai lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ​motosikal ditunggangi anak sulungnya itu merempuh bahagian belakang sebuah traktor yang bergerak perlahan tanpa lampu ketika hujan lebat dan jalan gelap di Jalan Ranggon, Kerteh di sini.

"Masa kemalangan tu anak saya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di landasan ECRL dalam perjalanan balik rumah.

Iklan

Insiden menimpa Muhammad Haziq tular di media sosial selepas keadaan pemuda itu dikongsi sepupunya pada 7 Julai lalu untuk memohon sumbangan bagi menampung kos pembedahan.

Keadaan motosikal ditunggang Muhammad Haziq selepas terlibat kemalangan dengan sebuah traktor di Jalan Ranggon, Kerteh, Kemaman pada 1 Julai lalu.

Iklan

Sementara itu, suami Arinab iaitu Osman Hashim, 46, ketika dihubungi pada Selasa berkata, anaknya mengalami pelbagai kecederaan termasuk terputus jari, tulang leher patah, tulang belakang hancur di satu tempat serta patah di dua tempat, selain kedua-dua belah kaki patah dan pendarahan dalam paru-paru.

​Mengulas mengenai rawatan terkini, Osman berkata, anak sulung daripada empat beradik itu telah selesai menjalani pembedahan pada kedua-dua belah tulang kaki kiri dan kanan dan kini sedang menunggu giliran untuk pembedahan susulan.

​Jelasnya, pembedahan seterusnya melibatkan rawatan pendarahan paru-paru, pembedahan tulang belakang di tiga tempat dan pembedahan tulang leher di satu tempat yang memerlukan kos perubatan yang tinggi.

​"Kos bagi setiap pembedahan untuk satu tulang adalah sebanyak RM13,500. Anak saya memerlukan empat lagi pembedahan tulang.

​"Kami sekeluarga memohon bantuan dan doa bagi mengurangkan beban kos rawatan. Setiap sumbangan amat bermakna dan sangat kami hargai," katanya.

​Dalam pada itu, Osman berkata, dia telah hadir ke Balai Polis Kemaman untuk membuat laporan berhubung kemalangan tersebut bagi membolehkan tindakan lanjut diambil oleh pihak berkuasa.

​"Setakat ini pihak polis masih belum memanggil untuk keterangan lanjut kerana mereka perlu menunggu mangsa sendiri membuat laporan bagi siasatan," jelasnya.

​Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Arinab di talian 011-3749 9063 atau menyalur sumbangan ke akaun Bank Islam 13044020964917 atas nama Arinab Mohd Zin.