Pembinaan loji kuasa nuklear akan dipertimbang selepas semua prasyarat dipenuhi - Petra

Iklan
Abdul Rahman menjawab pertanyaan Rodziah di Dewan Rakyat pada Rabu.

KUALA LUMPUR - Kerajaan ketika ini akan memberikan keutamaan strategik kepada pemerkasaan dan penggunaan sumber tenaga boleh baharu sedia ada yang telah terbukti berkesan serta berdaya maju.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, sumber tenaga boleh baharu sedia ada itu melibatkan Solar Photovoltaic (PV), biojisim, biogas dan hidrokuasa.

Iklan
Iklan

Menurut Abdul Rahman, kementeriannya melalui Malaysia Programme Office for Power Electricity Reform (MyPOWER) Corporation selaku Nuclear Energy Programme Implementing Organisation (NEPIO) juga sedang melaksanakan penilaian menyeluruh dan berperingkat bagi menilai potensi pembangunan program tenaga nuklear untuk penjanaan elektrik jangka panjang di Malaysia.

“Kerajaan ingin menegaskan bahawa sebarang keputusan berhubung pembinaan loji jana kuasa nuklear hanya akan dipertimbangkan setelah semua prasyarat berkaitan dipenuhi.

Iklan

“Ia termasuk hasil penilaian menunjukkan bahawa teknologi tersebut selamat, berdaya maju, mampan serta memberi manfaat kepada negara,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Rodziah Ismail (PH-Ampang) sekiranya terdapat sebarang hasil kajian terhadap potensi sumber tenaga rendah karbon alternatif seperti nuklear, biojisim, biogas dan geoterma sebagai pelengkap bagi sumber tenaga boleh baharu sedia ada bagi mengurangkan keterdedahan Malaysia kepada kejutan tenaga luar.

Iklan

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) menerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) telah mengenal pasti sebanyak 51.88 MW potensi penjanaan tenaga bersumberkan Palm Oil Mill (POM) boleh dilaksanakan di Semenanjung Malaysia.

Selain itu katanya, SEDA Malaysia dengan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia turut melaksanakan kajian penilaian sumber geoterma di Ulu Slim, Perak

“Bagaimanapun, berdasarkan hasil dapatan kajian tersebut, penggerudian eksplorasi perlu dilaksanakan bagi mengesahkan kapasiti sebenar dan kebolehlaksanaan pembangunan sumber geoterma di kawasan tersebut,” katanya.