SHAH ALAM - Lotus’s Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus’s Malaysia) mengambil tindakan tatatertib yang sewajarnya selaras dengan dasar dalaman syarikat berhubung insiden wanita hamil dituduh mencuri di cawangan pasar raya itu di Selayang, Selangor, baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan, syarikat tersebut berkata, pihaknya telah menyelesaikan siasatan dan mendapati cara itu tidak memenuhi standard layanan dan perkhidmatan yang sewajarnya diharapkan oleh pelanggan.
Menurutnya, tiada pelanggan sepatutnya melalui pengalaman sedemikian ketika membeli-belah di Lotus's Malaysia.
"Kepada pelanggan, isteri beliau serta keluarga mereka, kami ingin memohon maaf atas insiden yang telah berlaku.
"Kami amat kesal atas pengalaman yang telah mereka lalui. Kami juga telah menghubungi keluarga tersebut secara langsung dan kekal komited untuk mendapatkan semula kepercayaan mereka.
"Di samping itu, kami telah memperkukuh garis panduan, prosedur dan latihan bagi memastikan semua rakan sekerja terus mengamalkan standard perkhidmatan yang ditetapkan serta membantu mengelakkan kejadian seumpama ini daripada berulang," katanya pada Rabu.
Sebelum ini, media melaporkan suami kepada seorang wanita mengandung mempertikaikan tindakan penyelia pasar raya itu yang menyuruh isterinya berdiri selama 20 minit selepas dituduh mencuri.
Lelaki dikenali sebagai Fareez, 25, memaklumkan isterinya berusia 23 tahun dan sarat hamil dituduh mencuri barang yang kononnya disorok dalam pakaian.
Tambah Lotus’s Malaysia, bagaimanapun amat dikesali apabila terdapat laporan gangguan peribadi dan ugutan secara dalam talian yang ditujukan kepada pekerja terlibat serta ahli keluarga terdekat sepanjang insiden ini.
Jelasnya, sehubungan itu diharapkan semua pihak menghormati privasi, kesejahteraan dan harga diri setiap individu yang terlibat serta membenarkan perkara ini diteruskan dengan penuh persefahaman.
"Insiden ini mengingatkan kami tentang pentingnya melayan setiap pelanggan dengan empati, rasa hormat dan bermaruah.
"Kami kekal komited untuk mengambil iktibar daripada pengalaman ini, terus menambah baik mutu perkhidmatan serta terus berusaha meraih kepercayaan yang diberikan oleh pelanggan kepada Lotus's setiap hari," ulasnya