'Dilarang salah guna lambang polis untuk tujuan komersial' - KPN

Iklan
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan bahawa sebarang penggunaan nama, lambang, imej pegawai polis atau apa-apa identiti rasmi pasukan bagi tujuan promosi, pemasaran, pengiklanan atau aktiviti komersial tanpa kebenaran adalah tidak dibenarkan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, identiti rasmi PDRM merupakan aset institusi yang perlu dipelihara dan tidak boleh dieksploitasi bagi memperoleh keuntungan atau mewujudkan persepsi yang mengelirukan kepada masyarakat.

Iklan
Iklan

"Kehadiran mana-mana pegawai atau anggota polis dalam sesuatu program juga tidak boleh ditafsirkan sebagai bentuk pengendorsan, sokongan atau pengiktirafan terhadap mana-mana produk, perkhidmatan, pelaburan atau aktiviti komersial yang dianjurkan.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat andaian bahawa sesuatu produk atau perkhidmatan telah mendapat kelulusan atau sokongan rasmi polis hanya berdasarkan penglibatan warga PDRM dalam sesuatu program," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Mohd Khalid berkata, mana-mana pihak yang menggunakan identiti rasmi PDRM secara tidak sah atau bagi tujuan mengelirukan sehingga menimbulkan persepsi bahawa pasukan itu mengendors sesuatu produk atau perkhidmatan boleh disiasat dan dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

"Tindakan boleh diambil termasuk di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, tertakluk kepada fakta serta elemen kesalahan yang dapat dibuktikan dalam siasatan.

Iklan

"PDRM kekal komited memelihara integriti, kredibiliti dan identiti rasmi pasukan selain memastikan setiap bentuk kerjasama dengan pihak luar dilaksanakan secara telus, profesional dan selaras dengan undang-undang," katanya.