BENTONG – Seorang lelaki maut manakala seorang kanak-kanak cedera parah selepas motosikal yang ditunggang mangsa bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 15 Jalan Utama Mempaga di hadapan Sekolah Menengah Agama Persekutuan di sini pada malam Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.48 malam itu, mangsa berusia 33 tahun yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah Toyota Hilux yang dipandu lelaki berusia 43 tahun dan motosikal ditunggang mangsa bersama seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun sebagai pembonceng.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan tersebut sedang bergerak dari arah yang bertentangan.
"Pada ketika itu, Toyota Hilux dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Raub dan pemandunya dipercayai memotong beberapa buah kenderaan di kawasan garisan berkembar apabila tiba di lokasi kejadian.
"Kenderaan itu kemudian memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal yang datang dari arah bertentangan.
"Akibat perlanggaran tersebut, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta kecederaan pada tangan dan kaki serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau memaklumkan, pembonceng motosikal iaitu kanak-kanak lelaki pula mengalami kecederaan parah di bahagian kaki kiri dan kini menerima rawatan di Hospital Bentong.
Tambahnya, pemandu dan penumpang Toyota Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut Zaiham, hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku disebabkan pemandu Toyota Hilux memotong kenderaan di kawasan garisan berkembar dan memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya berlaku.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," ujarnya.
Dalam pada itu, Zaiham memberitahu pemandu Hilux itu telah ditahan dan permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah akan dipohon bagi membantu siasatan.
"Ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati keputusan negatif manakala sampel darah telah diambil untuk analisis lanjut.
"Siasatan diteruskan bagi melengkapkan keterangan dan mengenal pasti punca kejadian secara menyeluruh," katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan tidak memandu secara berbahaya sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain.