Anak main bola di padang, emak ayah tolong jaga mulut

Iklan
Ibu bapa disaran agar tidak terlalu beremosi menyaksikan kejohanan bola yang disertai anak-anak mereka. Gambar haisan

MERAK JALANAN tidak hairan melihat peluh meleleh di dahi sesetengah ibu bapa di luar gelanggang ketika anak mereka rancak berentap di tengah padang bola.

Ia bukan disebabkan cuaca panas atau baharu selesai berlari 10 pusingan padang, sebaliknya kerana tidak boleh duduk diam gara-gara terlalu beremosi menyaksikan kejohanan bola sepak bawah lapan tahun.

Iklan
Iklan

Apabila sepakan atau hantaran anak tersasar ke kiri, terdengar jeritan dari belakang pagar. Apabila pengadil meniup wisel, makian pula bertalu-talu didengari oleh orang sekeliling.

Kemudian, apabila jurulatih mengubah taktikal, pelbagai perkara dipertikaikan dan lebih parah, pergaduhan fizikal hampir tercetus.

Iklan

Anak-anak kecil dihantar ke akademi bola sepak untuk mempelajari asas permainan, memahami erti disiplin, menghormati jurulatih dan membina keyakinan diri.

Pada masa sama, mereka turut belajar menerima kemenangan dengan rendah hati dan mengawal kekecewaan apabila berdepan kekalahan.

Iklan

Namun, apabila orang dewasa gagal mengawal kata-kata dan tingkah laku, anak-anak tanpa sedar diajar budaya mencaci dan memaki.

Pengadil menjadi mangsa, jurulatih menjadi sasaran, ibu bapa lain dicemuh dan rakan sepasukan sendiri tidak terkecuali dipersalahkan.

Bola sepak ialah permainan berpasukan, bukannya pentas teater. Justeru, kepada ibu bapa yang tersayang, Merak Jalanan ingin berpesan supaya duduk dengan sopan di tepi padang dan biarkan anak bermain, jatuh, bangun, menang serta kalah.

Itulah cara anak-anak belajar menjadi insan yang matang dan bertanggungjawab.