ALOR SETAR - Seorang lelaki warga Bangladesh disyaki mengahwini wanita tempatan bagi membolehkannya menjadi ejen menyediakan dokumen palsu kepada warga asing.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, lelaki berusia lewat 40-an itu mengahwini isteri berusia 69 yang lumpuh dipercayai dipergunakan untuk mendaftarkan tiga syarikat atas nama wanita itu termasuk menjadi ejen berdaftar dengan Jabatan Imigresen untuk menyediakan permit kerja palsu.
"Polis percaya, syarikat itu digunakan sebagai alasan untuk membolehkan permohonan pekerja asing dilakukan," katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini pada Selasa.
Menurutnya, kegiatan itu terbongkar menerusi empat serbuan di sekitar Kulim pada 27 Jun lalu yang membawa kepada penahanan 24 individu.
“Dia mendapat upah kira-kira RM4,000 bagi seorang. Modus operandinya, apabila sudah menjadi ejen, pada masa sama dia mengambil kesempatan membuat permit palsu.
“Dia sudah menjadi ejen berdaftar, mempunyai syarikat dan boleh membuat permohonan permit. Individu yang ditahan beramai-ramai di rumah itu dipercayai sedang menunggu permit palsu dikeluarkan,” katanya.
Adzli berkata, polis merampas 40 pasport, 10 telefon bimbit, empat komputer riba dan satu permit kerja palsu dalam serbuan berkenaan.
Jelasnya, semakan bersama Jabatan Imigresen mengesahkan semua pasport yang dirampas adalah tulen, namun sebahagiannya bukan milik individu yang ditahan.
Beliau berkata, pemeriksaan terhadap telefon bimbit seorang suspek turut menemukan dokumen pasport dan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang memaparkan gambar individu sama, tetapi menggunakan nama serta nombor siri berbeza.
Bagaimanapun, katanya, semakan terhadap satu daripada nombor pasport berkenaan mendapati ia didaftarkan atas nama individu lain.
“Analisis forensik terhadap komputer riba pula menemukan dokumen berkaitan permohonan kad UNHCR, templat kosong serta perisian yang boleh digunakan untuk menyunting dokumen,” katanya.
Beliau berkata, polis masih memburu seorang lagi warga Bangladesh berusia 33 tahun yang disyaki turut menjadi dalang sindiket berkenaan.
Katanya, isterinya yang juga wanita tempatan berusia 33 tahun sudah ditahan bagi membantu siasatan.
Kesemua 24 individu direman sehingga 21 Julai bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen.
Polis turut meneliti kemungkinan memperluas siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).