KUALA LUMPUR – Pelawak, Harith Iskander Musa menafikan di Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menerusi satu persembahan komedi di sebuah hotel, Januari lalu.
Menerusi pernyataan pembelaan yang difailkan pada 9 Julai lalu melalui Tetuan Karpal Singh & Co, Harith Iskander selaku defendan menafikan telah bertindak dengan niat jahat terhadap isteri ahli politik terbabit.
Juara pertandingan The Funniest Person In The World (TFPW) di Levi, Finland pada 2016 lalu turut menafikan bahawa paparan visual berkenaan membawa maksud Rosmah ialah makhluk seram, individu yang menakutkan, jahat, hodoh, menjijikkan atau tidak berperikemanusiaan.
Pada 9 Jun lalu, Rosmah memfailkan saman fitnah terhadap pelawak dengan mendakwa menjadi mangsa penghinaan fizikal atau body shaming menerusi satu persembahan komedi.
Rosmah, 75, selaku plaintif memfailkan writ saman menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak dengan menamakan Harith Iskander sebagai defendan.
Berdasarkan penyataan tuntutan, saman itu berkaitan persembahan stand-up comedy bertajuk Harith Iskander: The Outspoken Comedy Tour yang diadakan di sebuah hotel di Melaka pada 17 Januari lalu.
Rosmah mendakwa ketika persembahan berkenaan, defendan memaparkan imej makhluk mitologi yang digambarkan sebagai menyeramkan seperti toyol, pontianak dan pocong sebelum memaparkan gambarnya sebagai sebahagian daripada naratif jenaka.
Bagaimanapun, Harith Iskander berkata, persembahan itu perlu difahami sebagai sebuah rutin komedi berdiri yang merangkumi naratif, cara penyampaian, nada, masa penyampaian dan interaksi bersama penonton.
Katanya, ia termasuk penafian atau 'disclaimer' serta peraturan yang dijelaskan sebelum dan ketika persembahan berlangsung.
Beliau yang juga pelakon dan pengacara, mempertahankan kandungan persembahan tersebut dengan menegaskan bahawa segala kenyataan dan paparan visual yang dipersoalkan perlu dinilai dalam konteks keseluruhan persembahan, bukannya berdasarkan petikan atau rakaman yang disebarkan di media sosial.
Katanya, mana-mana petikan atau rakaman yang dimuat naik oleh pihak ketiga ke media sosial merupakan penerbitan berasingan yang tidak menggambarkan keseluruhan konteks persembahan sebenar.
Beliau juga menegaskan tidak mengenali pemilik akaun TikTok @mayychan0303, selain tidak pernah memberi kebenaran, persetujuan atau kuasa kepada mana-mana pihak untuk merakam atau menerbitkan kandungan persembahan itu.
"Ia juga bertentangan dengan arahan jelas defendan yang melarang penonton merakam audio, video atau mengambil gambar sepanjang persembahan berlangsung," kata pernyataan pembelaan itu.
Pelakon filem Anna and the King itu turut berhujah bahawa, sebarang rujukan kepada watak mitos, legenda atau cerita rakyat dalam persembahan tersebut adalah bersifat fiksyen, satira dan figuratif, serta tidak sepatutnya ditafsirkan oleh individu yang munasabah sebagai kenyataan fakta mengenai plaintif.
Selain itu, beliau memplidkan bahawa imej Rosmah hanya dipaparkan secara sepintas lalu selama kurang daripada lima saat dalam persembahan yang berlangsung selama 90 minit.
Menurutnya, paparan berkenaan bukan tema utama, tidak menjadi fokus persembahan dan tidak diulang atau diberikan penekanan secara berterusan.
Sehubungan itu, Harith Iskander memohon supaya saman yang difailkan terhadapnya ditolak dengan kos.
Sementara itu, ketika pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Anis Zainab Pawanteh pada Selasa, mahkamah menetapkan pemfailan jawapan kepada pembelaan, sebelum atau pada 30 Julai.
Sementara itu, peguam, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff yang mewakili Rosmah berkata, mahkamah turut menetapkan 31 Julai sebagai pengurusan kes bagi mendapatkan perkembangan pemfailan tersebut.