Projek mitigasi hakisan tidak jejas pelancongan Batu Ferringhi - Exco

Iklan
Projek mitigasi hakisan bertujuan mengurangkan impak ombak terhadap garis pantai.

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang memberi jaminan kerja-kerja mitigasi hakisan pantai di Batu Ferringhi dilaksanakan tanpa menjejaskan keselamatan pengunjung, aktiviti pelancongan serta kelestarian alam sekitar di kawasan peranginan popular itu.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, langkah mitigasi yang dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dirancang dengan mengambil kira status Batu Ferringhi sebagai antara destinasi pelancongan utama di negeri ini selain memastikan kawasan pantai terus selamat untuk dinikmati orang ramai.

Iklan
Iklan

“JPS akan terus memantau pelaksanaan kerja bagi memastikan impak terhadap aktiviti pelancongan dan alam sekitar berada pada tahap minimum,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas mengenai pemasangan 'beach container', Zairil berkata, kaedah itu merupakan langkah mitigasi jangka sederhana bagi mengawal hakisan pantai yang semakin membimbangkan sementara menunggu projek perlindungan pantai secara menyeluruh dilaksanakan.

Iklan

Katanya, langkah tersebut bertujuan mengurangkan impak ombak terhadap garis pantai, mengawal kadar hakisan dan melindungi kawasan yang dikenal pasti mengalami hakisan paling kritikal.

“Berdasarkan penilaian teknikal JPS, langkah mitigasi ini dijangka berkesan antara dua hingga tiga tahun bergantung kepada keadaan cuaca, ombak, pasang surut air laut serta kejadian cuaca ekstrem.

Iklan

Zairil

“Tempoh itu dijangka mencukupi sebagai penyelesaian sementara sehingga projek perlindungan hakisan pantai jangka panjang yang telah diluluskan mula dilaksanakan,” ujarnya lagi.

Beliau menambah, pelaksanaan kerja tersebut sebelum ini berdepan beberapa cabaran termasuk faktor pasang surut air laut yang mengehadkan tempoh pemasangan kepada waktu air surut.

Selain itu katanya, keadaan cuaca yang tidak menentu seperti hujan berterusan, angin kencang dan ombak tinggi turut menjejaskan aspek keselamatan serta kelancaran kerja di tapak.

Tambah Zairil, ketiadaan laluan terus untuk jentera berat memasuki kawasan pantai menyebabkan penghantaran bahan binaan dan pengeluaran sisa seperti pokok tumbang perlu dilakukan menggunakan kaedah 'double handling' sekali gus meningkatkan tempoh dan kerumitan pelaksanaan projek.

"Sekiranya kerja mitigasi terus tertangguh, hakisan berisiko menjadi lebih serius sehingga menjejaskan struktur kekal, kemudahan awam serta infrastruktur berhampiran pantai," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Zairil berkata, kerajaan negeri melalui JPS turut merancang projek perlindungan pantai jangka panjang yang lebih menyeluruh bagi menangani masalah hakisan di Batu Ferringhi.

Kerja-kerja mitigasi hakisan pantai sedang dijalankan di Batu Ferringhi.

Katanya, projek yang telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) itu kini berada pada fasa pelantikan perunding untuk menyediakan reka bentuk terperinci sebelum kerja pembinaan dimulakan.

“Cadangan projek itu melibatkan pembinaan struktur perlindungan pantai termasuk struktur 'outfall', struktur perlindungan hakisan serta kaedah pemulihan pantai tertakluk kepada hasil kajian dan reka bentuk akhir.

“Pendekatan ini bertujuan mengurangkan kadar hakisan, menstabilkan garis pantai serta melindungi infrastruktur, aset awam dan kawasan pelancongan di Batu Ferringhi secara mampan,” katanya.

Beliau menambah, kerja mitigasi berkenaan melibatkan kos keseluruhan RM500,000 merangkumi kerja pembersihan tapak, pemotongan pokok tumbang dan pemasangan 'beach container' di kawasan yang mengalami hakisan paling kritikal.

"Sebanyak 62 unit 'beach container' akan dipasang dalam lima lapisan dengan ketinggian kira-kira lima meter, meliputi kawasan sepanjang 44 meter di hadapan Pantai Batu Ferringhi.

"Kerja pemasangan 'beach container' di hadapan Hotel Lone Pine telah bermula pada 8 Julai lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada 10 Ogos depan," katanya.