Johor beri mesej, kita belajar untuk Negeri Sembilan - DAP

Iklan
CEC DAP selepas mengadakan mesyuarat bagi menilai keputusan dan kempen di Johor.

SHAH ALAM - DAP akan menjadikan mesej disampaikan pengundi Johor sebagai pengajaran untuk memperbaiki kelemahan parti itu dengan mengalihkan tumpuan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP berkata, parti itu menghormati keputusan rakyat Johor selepas jumlah kerusi yang dimenangi berkurangan daripada 10 kepada enam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, walaupun calon DAP merekodkan peningkatan jumlah undi berbanding PRN Johor 2022, sokongan yang diterima masih belum cukup meluas dan seimbang untuk mempertahankan empat kerusi penentu.

"Kami membawa pengajaran dari Johor ke Negeri Sembilan dengan rendah hati, disiplin dan tekad untuk bekerja lebih keras. Johor telah memberi mesejnya. Kami akan belajar daripadanya.

Iklan

"Di Negeri Sembilan, kami akan terus berjuang secara positif untuk mendapatkan mandat baharu dan meneruskan pentadbiran yang stabil, sederhana dan berkhidmat kepada semua," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut CEC DAP, tumpuan parti itu kini beralih ke Negeri Sembilan dengan Pakatan Harapan (PH) akan bertanding di kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala DAP mempertahankan 11 kerusi menerusi lapan penyandang dan tiga muka baharu.

Iklan

Katanya, DAP memasuki pilihan raya berkenaan sebagai sebahagian daripada penyandang kerajaan negeri dengan membawa rekod pentadbiran, pengalaman serta pasukan yang bersedia untuk mendapatkan mandat rakyat bagi mentadbir sekali lagi.

"Kempen kami di Negeri Sembilan akan bersifat positif dan berpandangan ke hadapan. Kami akan mengetengahkan pencapaian kerajaan negeri, rancangan pembangunan, penyelesaian kepada masalah rakyat serta calon yang mampu berkhidmat," ujarnya.

Tambahnya, DAP mahu rakyat membuat pilihan berdasarkan rekod, dasar dan masa depan Negeri Sembilan, bukannya politik perpecahan.

Dalam perkembangan sama, CEC DAP memaklumkan pihaknya telah mengadakan mesyuarat bagi menilai kempen dan keputusan PRN Johor, selain mengenal pasti beberapa isu berkaitan dasar, politik, organisasi dan komunikasi yang memerlukan tindakan susulan.

Katanya, parti itu menerima tanggungjawab untuk memahami, menangani dan memperbaiki kelemahan selepas kehilangan empat daripada 10 kerusi yang disandang sebelum ini.

Bagaimanapun, DAP menegaskan peningkatan jumlah undi yang diterima menunjukkan parti itu masih mempunyai asas sokongan yang kukuh.

Menurut CEC, calon DAP memperoleh 226,592 undi di 10 kerusi yang ditandingi berbanding 159,769 undi pada PRN Johor 2022.

“Peningkatan jumlah undi tidak menafikan kehilangan empat kerusi. Namun, ia menunjukkan bahawa DAP masih mempunyai asas sokongan yang kukuh untuk dipertahankan, diperluas dan diterjemahkan kepada kemenangan," katanya.