MELAKA - Seorang lelaki yang didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang tahanan lain di Penjara Sungai Udang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini pada Selasa.
Tertuduh, Muhammad Awal Haruil, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Iklan
Iklan
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang tahanan lelaki berusia 17 tahun ketika berada di dalam Sel 13, Penjara Sungai Udang, dalam daerah Melaka Tengah, sekitar jam 11 malam pada awal Januari lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Muhammad Qaiyyum mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 berserta syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan serta melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan.
Mahkamah bagaimanapun tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh dan menetapkan 17 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta lantikan peguam.