PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan pada Selasa menolak permohonan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan untuk mendapat kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan, yang memerintahkannya membayar ganti rugi RM250,000 kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dalam kes saman fitnah.
Permohonan kebenaran merayu itu ditolak sebulat suara oleh panel tiga hakim yang bersidang terdiri daripada Datuk Rhodzariah Bujang, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Azmi Ariffin, selepas memutuskan bahawa sembilan persoalan undang-undang yang dikemukakan Musa tidak membangkitkan isu baharu yang memerlukan pemutusan mahkamah.
"Kebenaran itu ditolak kerana gagal memenuhi ambang keperluan yang diperlukan, sensitif terhadap fakta dan bukan perkara berkepentingan awam," kata Hakim Rhodzariah.
Panel berkenaan turut memerintahkan Musa membayar kos sebanyak RM50,000 kepada Hannah.
Bagi mendapatkan kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan, pemohon perlu membuktikan bahawa rayuan yang dicadangkan itu menimbulkan persoalan undang-undang atau perlembagaan baharu, berkepentingan awam yang belum pernah dibincangkan serta memerlukan hujah lanjut.
Pada Januari tahun ini, Mahkamah Rayuan memutuskan untuk memihak kepada Hannah dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Disember 2024, yang menolak samannya terhadap Musa dan memerintahkannya membayar kos RM40,000 kepada Musa.
Hannah memfailkan saman itu pada 2020 terhadap Musa berhubung kenyataan yang dibuat bekas ketua polis negara itu dalam sebuah forum pada 30 Januari 2020. Hannah hadir di mahkamah pada Selasa.
Bercakap kepada media selepas prosiding itu, Hannah mengucapkan terima kasih kepada pasukan guamannya dan mahkamah kerana keadilan akhirnya dapat ditegakkan, selain berkata perkara ini akan menjadi pengajaran kepada mana-mana pihak yang cuba mengeksploitasi isu berkaitan kaum dan agama.
Musa turut hadir pada prosiding pada Selasa.
Peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud mewakili Musa, manakala Razlan Hadri Zulkifli mewakili menteri berkenaan. - Bernama