Lima mayat mangsa kepala air Sungai Pertak tiba di Hospital Sungai Buloh

Iklan
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melepaskan lelah dan menghilangkan dahaga selepas bertungkus-lumus dalam operasi membawa keluar mayat mangsa tragedi kepala air di Sungai Pertak pada Selasa. Foto Bernama

SUNGAI BULOH - Lima mayat mangsa tragedi kepala air di Sungai Pertak, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, tiba di Unit Forensik Hospital Sungai Buloh pada jam 2 petang Selasa.

Kesemua mayat dibawa menggunakan trak polis selepas ditemukan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan susulan kejadian kepala air pada kira-kira jam 5.30 petang Isnin.

Iklan
Iklan

Setakat ini, lima daripada lapan individu yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras ditemukan meninggal dunia, manakala usaha mengesan tiga lagi mangsa masih diteruskan.

Sebelum ini, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar memaklumkan, mangsa pertama dikenali sebagai V Vijayan, 36, ditemukan pada jam 1.30 pagi, Selasa di kawasan Jambatan Pertak, kira-kira 2.7 kilometer dari lokasi mangsa dihanyutkan arus di Lata Jebus.

Iklan

Empat lagi mayat ditemukan sekitar jam 9.20 pagi di kawasan Jambatan Senget, kira-kira satu kilometer dari Lata Jebus.

Menurutnya, operasi berdepan cabaran arus deras yang mengambil masa kira-kira tiga hingga empat jam untuk surut sebelum pencarian di permukaan air dapat dijalankan.

Iklan

Dalam kejadian itu, lapan individu terdiri daripada seorang warga tempatan, seorang warga Yemen, seorang warga Sri Lanka, seorang warga Nepal dan empat warga India dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus.

Selain itu, seramai 26 individu daripada beberapa kumpulan yang menjalankan aktiviti rekreasi dan pendakian turut dilaporkan terkandas di sekitar kawasan sungai berkenaan sebelum berjaya diselamatkan pasukan penyelamat.